[VIDEO] Veteran TUDM rayu elaun kenangan

Dari kiri: Patrick, Mohsain, Mohd Johan, Yahaya, Ismail dan Pak Singh selepas sidang akhbar bersama Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Dari kiri: Patrick, Mohsain, Mohd Johan, Yahaya, Ismail dan Pak Singh selepas sidang akhbar bersama Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun kenangan kepada penerima Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).

Leftenan Muda (B) TUDM, Mohd Johan Othman berkata, ini kerana dalam Warta Kerajaan Persekutuan, terdapat lima Pingat Kepahlawanan iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), Pingat Gagah Berani (PGB), Pingat Tentera Udara (PTU), Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) dan Pingat KPK.

Namun, Mohd Johan mengakui beliau dan rakan-rakan lain yang menerima Pingat KPK tidak tersenarai dalam pemberian elaun tersebut.

“Empat (SP, PGB, PTU,JPP) daripada lima pingat ini telah lama menikmati pemberian elaun kenangan setiap bulan antara RM1,000 hingga RM2,000 daripada kerajaan Persekutuan.

Tetapi, kami penerima Pingat KPK tidak pernah diberi sebarang elaun.

Kami sungguh kecewa kerana rakan-rakan seperjuangan yang sama misi menikmati elaun ini setiap bulan sejak 30 Julai 2011.

“Justeru, kami menggesa Jabatan Perdana Menteri (JPM) khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi pertimbangan mengenai pemberian elaun kenangan kepada kami,” katanya ketika sidang akhbar bersama Sinar Harian di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Hadir sama, Kapten (B) Datuk Yahaya Abdul Rahman; Leftenan Kolonel (B) Ismail Yahya serta tiga Sarjan (B) iaitu Pak Singh Keshar Singh, Mohsain Hashim dan Patrick Lee.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kelima-lima pingat tersebut antara lapan daripada 10 senarai pingat Diraja Malaysia

“Pengiktirafan pingat kami ini terlalu tinggi.

Kalau empat yang lain berjuang dengan kami dalam helikopter yang sama menentang komunis mendapat imbuhan elaun, mengapa kami tidak diberi hak yang sama? Ini tidak adil.

“Kami telah berjuang bermati-matian, menentang keganasan Parti Komunis Malaya sekitar tahun 70-an dan 80-an demi mempertahankan kedaulatan negara Malaysia di sempadan Malaysia-Thailand dan Parti Komunis Kalimantan Utara di Sarawak dan Sabah.

“Kami juga melalui saat-saat genting dan amat berbahaya apabila pesawat kami diserang hendap sehingga ada yang terkorban,” katanya.

Mohd Johan berkata, pihaknya telah menghantar surat permohonan kepada JPM bagi mempertimbangkan pemberian elaun kenangan kepada penerima PTU, JPP dan KPK, namun hanya meluluskan dua sahaja.

“Pada tahun 2010, mereka hanya meluluskan PTU dan JPP dengan bayaran sebanyak RM1,000 sebulan.

“Jadi, penerima pingat ini sudah pun menikmati elaun kenangan hampir 11 tahun, tetapi kami hanya berputih mata,” luah beliau.