Pindaan Akta 342 didakwa bersifat drakonian

Tangkap layar kenyataan bersama kenyataan PPIM bersama 200 gabungan NGO Bersekutu pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan bersama kenyataan PPIM bersama 200 gabungan NGO Bersekutu pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama 200 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersekutu mendakwa pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bersifat drakonian, yakni lebih kejam daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, akta itu bukan sahaja menafikan hak rakyat untuk membela diri malah membabitkan nyawa diri dan ahli keluarga.

Menurutnya, lima peruntukan baharu dan lima pindaan dalam Rang Undang-undang (RUU) pindaan Akta 342 itu dilihat keterlaluan dan bertentangan dengan hak asasi manusia.

“Yang paling dahsyat adalah Seksyen 21A yang memberi kuasa mutlak kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pegawainya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang dirasakannya 'sakit' tanpa perlu pengesahan mana-mana pihak, lalu pesakit ini boleh dikuarantin.

“Kuasa pemusatan ini dibimbangi disalahgunakan atau dimanipulasi untuk tujuan politik dan kuasa. Ia sedang dibentangkan di Parlimen, yang akan menentukan nasib rakyat untuk masa depan,” katanya pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, hukuman penjara tujuh tahun jika melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) sama seperti hukuman ke atas kesalahan Kanun Keseksaan seperti membunuh tanpa niat dan mendatangkan kecederaan dilihat amat melampau.

Tambahnya, denda sehingga RM100,000 amat menindas rakyat khususnya golongan marhaen.

“Rakyat yang gagal bayar denda RM1,000 pun sudah ramai masuk penjara, inikan pula jika dilaksanakan pindaan akta ini.

Artikel Berkaitan:

“Adakah pihak penjara setuju dengan ini sedangkan mereka memiliki banyak kes jenayah berat yang perlu ditempatkan? Bagi organisasi yang langgar SOP pula dikenakan sehingga RM2 juta, melampau,” tegas mereka.

Justeru, PPIM dan 200 NGO Bersekutu memohon kerajaan memberikan penjelasan dan justifikasi berhubung hal itu kerana jelas ia tidak selari dengan asas Perlembagaan di mana setiap rakyat memiliki hak dan kebebasan yang sama.

“Namun rakyat melihat asas negara berkenaan tidak digunapakai sejak pelbagai polisi mengelirukan ketika pelaksanaan SOP pencegahan pandemik Covid-19.

“Contoh mengelirukan adalah hendak masuk di negeri ini perlu tiga dos, berbeza pula dengan SOP negeri lain.

“Kekeliruan ini menyebabkan ramai dipenjarakan kerana gagal bayar denda. Inilah yang menjadi kegusaran awam dan menimbulkan kebimbangan rakyat jika diluluskan pindaan Akta 342, apa lagi hak rakyat yang tinggal di negara ini?

“Contoh rakyat diperbodohkan dengan perkataan 'tidak wajib' vaksin tetapi majikan, kedai makan, sekolah dan universiti paksa yang menyebabkan rakyat tiada pilihan melainkan menyerahkan diri mereka untuk divaksin.

Dalam kenyataan sama, menurutnya, vaksin berkenaan dilaporkan banyak memberi kesan sampingan sehingga menyebabkan kematian.

Jelasnya, sebanyak 896 daripada 24,286 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) berkaitan dos penggalak diterima KKM setakat 15 Januari 2022.

"Seramai 18,000 doktor di seluruh dunia mengakui vaksin adalah senjata biologi yang boleh memberi kesan mudarat dalam jangka masa panjang.

“Sehubungan itu, PPIM terus menyeru rakyat jelata dan wakil rakyat yang dipilih untuk bangkit membantah pindaan Akta 342 agar tiada lagi yang tertindas hanya kerana diperbodohkan atas nama undang-undang,” tegasnya.