PPIM bersama gabungan NGO kemuka sebab penolakan pindaan Akta 342

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan beberapa sebab penolakan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) antaranya surat persetujuan untuk vaksinasi tidak diberi penjelasan sewajarnya kepada rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mendakwa kerajaan melepaskan tanggungjawab yang seharusnya membela nasib rakyat.

“Sebagai contoh, tiada pampasan jika berlaku kematian dan kesan sampingan selepas menerima vaksin Covid-19.

“Selain itu, selepas dua tahun pandemik, kerajaan tidak mampu mengurangkan jumlah kes Covid-19, malah jumlah kematian dengan kes kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang tinggi menggambarkan vaksin berupaya memainkan peranan ‘genocide’,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Sebab seterusnya, mereka berkata, rakyat dijanjikan ‘istilah herd immunity’ dengan pengambilan Covid-19 bermula dos pertama, kedua dan kini dos penggalak, namun ia seolah-olah satu tipu daya.

“Semua ini terbukti tidak berupaya untuk bertindak sebagai membantu sistem imun, malah masih terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sama. Paling malang, mengakibatkan ratusan ribu yang terkesan sampingan yang serius.

“Kerajaan juga menabur janji-janji palsu dengan menguar-uarkan dalam iklan televisyen dan sosial media yang mengatakan vaksin itu selamat. Apabila berlaku kematian dan AEFI, kesannya merangkumi perpecahan keharmonian keluarga.

“Rakyat kini sedia maklum yang keseluruhan program vaksin selama dua tahun ini merupakan ‘eksperimental vaksin ke atas manusia’. Ia satu jenayah, perbuatan yang tidak beretika dan melanggar prinsip etika perubatan serta kemanusiaan,” katanya mereka.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mereka turut mendakwa hak kebebasan rakyat terus dinafikan apabila rawatan alternatif diharamkan, hak solat disekat, bahkan hak bersuara dihalang yang akhirnya semua hak dilucutkan.

“Semua jenama vaksin Coronavirus jelas adalah ‘Gene-Altering RNA Vaccine’ yang mana ia akan mengubah gaya hidup, menghadkan kebebasan bergerak dan melemahkan kesihatan serta kesejahteraan umum.

“Vaksin juga dipaksa secara proksi. Orang ramai musykil terhadap vaksin tetapi dipaksa ke atas mereka melalui jabatan-jabatan tempat mereka bekerja,” kata PPIM dan juga gabungan NGO terbabit.