Wartakan Bukit Makro sebagai Hutan Simpan Kekal: Penduduk Maran

Penduduk Maran menggesa kawasan pembalakan hutan Bukit Makro diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.
Penduduk Maran menggesa kawasan pembalakan hutan Bukit Makro diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal.
A
A
A

MARAN - Bukan sekadar membatalkan lesen pembalakan di hutan Bukit Makro di sini, malah penduduk Maran menggesa kerajaan Pahang mewartakan kawasan itu sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).

Ia sebagai satu jaminan daripada kerajaan Pahang supaya tiada kelulusan pembalakan di situ akan diberi pada masa hadapan bagi memastikan kelestarian alam sekitar.

Penduduk tidak mahu tragedi seperti tahun lalu,apabila seluruh bandar Maran ditenggelami banjir susulan daripada pembangunan di sekitarnya.

Penduduk, Saadiah Md Pilus, 57, berkata, tindakan kerajaan membatalkan kelulusan pembalakan di hutan Bukit Makro adalah keputusan tepat dan disambut baik oleh penduduk di Maran.

Menurutnya, namun begitu adalah lebih baik sekiranya hutan itu diwartakan sebagai HSK bagi kelestarian alam untuk jangka panjang.

"Saya akui tidak boleh tolak pembangunan, tetapi pembangunan tidak dirancang boleh mendatangkan kemudaratan kepada penduduk setempat.

"Jadi, kalau boleh saya mahu Bukit Makro diwartakan sebagai HSK sebab lokasinya berhampiran dengan penempatan penduduk," katanya ketika ditemui di bandar Maran pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin memaklumkan lesen pembalakan di kawasan hutan berhampiran Bukit Makro, Maran dibatalkan dan segala aktiviti pra pembalakan di kawasan itu turut dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hizamri berkata, kelulusan yang diberikan kepada Amanah Saham Pahang (Aspa) melibatkan kawasan seluas 40.47 hektar itu dibatalkan pada 17 Januari lalu.

Bagi pengusaha kelulut, Ramli Maarap, 63, pula, kerajaan Pahang digesa mewartakan hutan Bukit Makro sebagai HSK atau menukarkan statusnya kepada hutan tadahan air.

Jelasnya, langkah itu bagi melindungi fungsi hutan yang begitu penting kepada masyarakat, hidupan liar dan alam sekitar.

"Bukit Makro ini perlu dilindungi sebaiknya dan Majlis Daerah Maran (MDM) mengindah kawasan di sekitar hutan itu susulan ramai melakukan aktiviti mendaki di kawasan terbabit.

Dari kiri: Jasri, Ramli dan Saadiah
Dari kiri: Jasri, Ramli dan Saadiah

"Tempat ini menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong pada setiap hujung minggu," katanya.

Ramli juga memaklumkan, kawasan hutan Bukit Makro ada sumber air semula jadi yang boleh digunakan oleh penduduk di Maran sekiranya bekalan air terputus.

Seorang lagi penduduk, Datuk Jasri Jamaludin, 53, juga mahu kerajaan Pahang mengazetkan hutan Bukit Makro sebagai HSK sebagai jaminan kawasan tersebut tidak boleh diterokai mana-mana pihak.

Katanya, jika kawasan hutan tersebut tidak ditukar statusnya, tidak mustahil kegiatan sama akan berulang pada masa akan datang.

"Penduduk di sini (Maran) mencadangkan agar kawasan hutan Bukit Makro diwartakan supaya ia tidak lagi diusik bagi mengelak berlakunya musibah di daerah ini.

"Bila hutan dimusnahkan, hakisan akan berlaku dan boleh menyebabkan banjir besar dan semua orang tahun awal tahun 2021 seluruh bandar Maran ditenggelami banjir.

"Kita tidak mahu kemusnahan dilakukan di sekitar hutan Bukit Makro yang berada di tengah-tengah bandar ini menjadi punca kepada banjir besar," kata peniaga berkenaan.