Golongan belia paling ramai terlibat penagihan dadah

Jemaah mendengar khutbah Jumaat yang dibacakan di Masjid Al-Ansar, Bandar Meru Raya, Ipoh.
Jemaah mendengar khutbah Jumaat yang dibacakan di Masjid Al-Ansar, Bandar Meru Raya, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Kisah pukul ahli keluarga, mengamuk hingga ada kejadian lelaki memenggal kepala ibu bulan lalu akan terus berlaku selagi isu penyalahgunaan dadah gagal dibendung secara berkesan.

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk Dadah: Pemusnah Negara Bangsa dan dibaca di seluruh masjid negeri ini menyebut golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun merupakan kategori penagih dadah tertinggi iaitu 65 peratus daripada 53,000 individu yang ditangkap.

"Jika kumpulan penagih ini gagal dipulihkan, mereka akan melalui hidup dalam sengsara serta akan menjadi warga yang tidak atau kurang produktif, mereka menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

"Ramai dalam kalangan mereka kerana terdesak memerlukan wang untuk membeli dadah, berakhir dengan melakukan pelbagai jenayah," jelas khutbah itu.

Menurut khutbah tersebut, dadah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara sejak 19 Februari 1983, bilangan penagih baharu terus dicatatkan meskipun pelbagai usaha telah digerakkan oleh pelbagai jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Corak penagihan dilaporkan telah berubah di samping jenis dadah yang pelbagai. Terdapat dadah jenis tradisional seperti ganja, ketum, ubat batuk, heroin dan morfin.

"Dunia telah diperkenalkan dengan dadah sintetik atau tiruan yang diproses dan dihasilkan melalui makmal seperti pil kuda, syabu, ekstasi dan 'ais' yang semakin popular," hurai khutbah.

Menurut khutbah itu, bilangan sebenar penagih dadah di dalam negara dipercayai jauh lebih ramai daripada bilangan yang ditangkap atau ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Polis berjaya membuat 9,029 tangkapan pengedar di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 tahun lalu dan seramai 18,064 orang pengedar ditangkap di bawah Seksyen 39A akta yang sama.

"Polis turut berjaya menemui 19 pusat memproses dadah dengan rampasan dadah bernilai lebih RM108 juta manakala Polis Perak berjaya menemui dua makmal melibatkan rampasan dadah bernilai RM111 juta," hurai khutbah.

Mimbar turut mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan usaha membanteras pengedaran dadah, terutama kejayaan menemui pusat-pusat memproses dan membuat dadah.

"Semoga anggota PDRM terus mendapat petunjuk Ilahi dan dikurniakan kekuatan untuk meningkatkan usaha menewaskan musuh nombor satu negara.

"Semoga anggota PDRM yang diamanahkan dengan tanggungjawab besar ini tidak akan ternoda dengan tawaran dan imbuhan yang mahu disogokkan oleh peniaga dan penyeludup dadah," menurut khutbah.

Jelas khutbah Jumaat itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 15-16 April 1982 memutuskan sebarang penyalahgunaan dadah hukumnya haram.

"Dadah hanya boleh digunakan bagi tujuan perubatan yang mematuhi syarak dan dadah juga boleh mengakibatkan kerosakan fungsi pelbagai organ dalam badan, kerukunan berumah tangga terjejas dan masyarakat pula hidup gelisah kerana telah hilang ketenteraman akibat jenayah.

"Lebih malang lagi, negara kehilangan guna tenaga pemuda yang merupakan pewaris untuk meneruskan usaha membina sebuah negara maju lagi berdaulat dan pada masa yang sama negara pula terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membiayai usaha-usaha pencegahan dan pemulihan," menurut khutbah.

Jelas teks khutbah itu, usaha-usaha pencegahan wajib dilipat gandakan dan petualang paling utama yang wajib diperangi ialah pengeluar, pembuat dan pengedar dadah.

"Mereka melihat dadah sebagai bahan dagangan untuk diniagakan bagi meraih keuntungan. Lebih ramai yang menagih dadah, lebih berkembang perniagaan mereka dan lebih besar untung yang dapat diraih. Peniaga dadah akan senantiasa berusaha untuk meluaskan pasaran dengan mencari penagih baharu.

"Mereka ini sebenarnya iblis bertopengkan manusia, golongan yang tidak layak dipanggil manusia kerana tidak langsung memiliki roh keinsanan. Mereka tergamak mendirikan mahligai kekayaan di atas nisan kesengsaraan mangsa dadah," hurai khutbah.

Jelas khutbah, ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat terutama pemimpin agama dan belia hendaklah berada di barisan hadapan berusaha melindungi anak-anak muda daripada menjadi mangsa perdagangan dadah.

"Perhatian hendaklah diberikan jika ada dalam kalangan ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan sekerja yang memperlihatkan perubahan sifat. Perubahan sifat boleh dijadikan petanda awal, kebarangkalian telah berlakunya penagihan.

"Antara perubahan sifat antaranya daripada periang berubah menjadi pendiam, cergas menjadi lemah dan tidak bermaya, suka menolong kepada cuai, sikap optimistik kepada sikap pesimistik dan menghadapi masalah kewangan dengan tidak putus-putus membuat pinjaman daripada rakan-rakan dan adik-beradik," menurut khutbah.

Teks itu turut mengingatkan jemaah agar kita tetap berpegang kepada aqidah Islamiah berteraskan ahli Sunnah Waljamaah, memakmurkan rumah-rumah ALLAH dan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.