Ibu tunggal, bujang paling ramai jadi mangsa love scam

Seramai 7,200 individu dianggarkan telah menjadi mangsa love scam. - Gambar hiasan
Seramai 7,200 individu dianggarkan telah menjadi mangsa love scam. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu tunggal dan bujang menjadi antara golongan tertinggi menjadi mangsa jenayah love scam dengan kadar sebanyak 6,251 kes.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kegiatan love scam dikesan menyasarkan individu kesunyian dengan menitipkan kata-kata cinta untuk memerangkap mangsa.

Menurut beliau, kepercayaan tinggi terhadap individu yang baharu dikenali antara menjadi faktor mangsa terperangkap dengan love scam ini.

"Kegiatan love scam ini menyasarkan mereka yang dalam kesunyian dan memerlukan perhatian, pelbagai kata-kata manis dan janji-janji indah ditaburkan sebelum mangsa masuk ke perangkap.

"Statistik yang dikeluarkan berdasarkan kes yang dilaporkan mendapati golongan wanita terdiri daripada ibu tunggal dan bujang antara menjadi tertinggi menjadi iaitu sebanyak 6,251 kes, manakala golongan lelaki mencatatkan sebanyak 1,297 kes," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ramli berkata, kegiatan love scam ini sebenarnya tidak mengira latar belakang mangsa termasuk dari segi umur.

"Berdasarkan laporan yang diterima, ada wanita berumur 75 tahun turut menjadi mangsa, apabila sebahagian besar wang simpanannya lebur gara-gara love scam.

"Setakat ini, seramai 7,200 individu dianggarkan telah menjadi mangsa, namun jumlah ini dijangka boleh menjadi lebih tinggi memandangkan terdapat kes yang tidak dilaporkan," katanya.

Menurut beliau, perkembangan arus media sosial antara menjadi faktor ramai yang menjadi mangsa love scam.

"Jika dahulu, kalau nak bertemu, perlu bertemu secara fizikal, namun sekarang tidak lagi, dengan hanya menggunakan medium media sosial, ia menjadi lebih mudah.

"Bagaimanapun, kesempatan itu yang digunakan kegiatan love scam untuk menarik mangsa dan menjadi tanggungjawab pengguna media sosial itu sendiri supaya lebih berwaspada," katanya.

Tambah Ramli, mangsa akan terpedaya apabila kegiatan love scam ini menggunakan gambar profil media sosial yang tampan atau cantik ketika berhubung.

"Rupa paras selain watak yang mempesonakan antara taktik digunakan kegiatan love scam untuk berkenalan dengan mangsa.

"Mangsa yang terpedaya seterusnya akan terpesona sekali gus meletakkan kepercayaan tinggi sebelum menuruti apa sahaja kehendak kegiatan love scam ini," katanya.

Ujar Ramli, sikap berhati-hati terutamanya ketika baru mengenali seseorang itu perlu dipupuk agar tidak mudah terperangkap.

"Kadangkala mangsa terperangkap dengan ayat-ayat manis yang digunakan, tambahan pula keadaan mangsa dalam kesunyian sekali gus menjadi faktor mangsa sanggup melakukan apa sahaja.

"Seharusnya jangan meletakkan kepercayaan tinggi kepada seseorang itu terutama individu yang dikenali dalam tempoh singkat, siasat latar belakang dan jangan terlalu terpengaruh dengan janji-janji yang diberikan," katanya.