Guru jangan bersara awal

Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan gimik Pelancaran Smart G-Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar SPM, SPMV, STPM dan STAM 2021 di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.
Saarani (dua dari kiri) menyempurnakan gimik Pelancaran Smart G-Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar SPM, SPMV, STPM dan STAM 2021 di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Guru-guru di Perak diminta tidak mengambil keputusan untuk bersara kerana tekanan akibat Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan itu tidak seharusnya diambil kerana guru berperanan memberi semangat kepada pelajar serta ibu bapa.

Kata Saarani, pihaknya menerima laporan terdapat guru di negeri ini yang mengambil keputusan bersara awal disebabkan tekanan yang dialami sepanjang pandemik.

"Semasa saya pergi Gerik, Pegawai Pelajaran Daerah melaporkan guru-guru yang hampir bersara ini sepatutnya pencen pada umur 60 tahun, pencen awal. Memang ada tapi berapa bilangan itu saya tak ada angka.

"Kalau cikgu yang masih ada tenaga jangan menggunakan perkataan dia berhenti kerana Covid-19 sebab itu akan memusnahkan semangat orang ramai sebab cikgu ini pemimpin dan motivator. Dia mesti mengajak masyarakat untuk melawan Covid-19. Itu semangat yang saya nak," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Smart G-Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar SPM, SPMV, STPM dan STAM 2021 di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Hotel Casuarina@Meru, di sini pada Khamis.

Sementara itu, mengenai pelancaran berkenaan, Saarani menjelaskan objektif utama inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) adalah untuk meningkatkan pelaksanaan strategi pembelajaran berkesan mengikut tahap keupayaan murid.

Katanya, sebanyak enam Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Perak (GLC) dan kerajaan negeri telah memberikan sumbangan dengan jumlah tajaan keseluruhan sebanyak RM3.45 juta bagi menjayakan program tersebut.

"Inisiatif ini merangkumi enam inisiatif strategik iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bahan pengajaran interaktif, bantuan khas makanan, program latih tubi berfokus, kesejahteraan dan kesihatan murid serta khidmat sosial dan komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Kerajaan Negeri juga melancarkan program Smart-G Tuisyen, di mana program ini menumpukan usaha dalam membantu murid-murid yang sederhana dalam prestasi akademik agar dapat ditingkatkan prestasi mereka melalui tuisyen percuma secara online.

Jelasnya, program ini dijangka akan dilaksanakan pada bulan Mac 2022 dan akan memberi manfaat kepada 6,000 murid di Negeri Perak khususnya kepada pelajar B40 dan M40 yang terpilih dengan peruntukan sebanyak RM600,000 melibatkan empat pengendali tuisyen atas talian.