Pembangunan kawasan bersepadu anak yatim bakal dibina di Dungun

Abdul Rahim ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Sahabat Peyatim di sebuah hotel di ibu kota, di sini, pada Sabtu.
Abdul Rahim ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Sahabat Peyatim di sebuah hotel di ibu kota, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) sedang dalam usaha membangunkan projek pembangunan kawasan bersepadu Tamba Rimba ASEAN (TRA) berkeluasan 560 hektar di Mukim Jengai, Dungun Terengganu.

Presiden Peyatim, Profesor Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor, perancangan pembangunan yang masih di peringkat awal itu dilaksanakan untuk memastikan kepentingan anak yatim dan anak miskin di Malaysia dan lapan negara lain di rantau Asia Tenggara.

Menurut beliau, projek yang bakal ditaja sepenuhnya oleh dana wakaf itu akan memiliki tiga komponen utama iaitu Akademi Pengajian Islam ASEAN, pusat ekopelancongan dan pendidikan serta pembangunan sosial ekonomi.

“Kita akan ada program kilang untuk industri kecil dan sederhana. Kita ada latih dia (anak-anak yatim) jadi usahawan dan dia boleh bekerja di situ dan buka kilang.

“Kita juga akan adakan aktiviti pendidikan meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, kolej, dan pusat tahfiz serta termasuk pusat dan termasuk pusat pendidikan pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Sahabat Peyatim di sebuah hotel di ibu kota, di sini, pada Sabtu.

Selain Malaysia, projek pembangunan itu akan turut membabitkan persatuan dan anak yatim serta anak miskin dari Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Vietnam.

Mengulas mengenai pembangunan dana wakaf bagi projek tersebut, Tengku Mahmud berkata, ia akan dilaksanakan menerusi penjualan tanah di kawasan tersebut melalui tiga pakej pembayaran dengan tempoh pembayaran selama lima tahun.

Pakej A membabitkan bayaran bulanan sebanyak RM300 bagi tanah seluas 600 kaki persegi diikuti Pakej B (RM150 bagi tanah berkeluasan 300 kaki persegi) dan Pakej C (RM90 bagi tanah berkeluasan 180 kaki persegi).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah pewakaf yang disasarkan menerusi ketiga-tiga pakej tersebut adalah sebanyak 3,200 individu dengan nilai keseluruhan bagi tempoh lima tahun ialah sekitar RM50 juta.

Tengku Mahmud turut berkata, fasa pertama pembangunan tersebut dijangkakan akan membabitkan kawasan seluas 240 hektar dengan kos sebanyak RM80 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia (Yawatim), Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, pihaknya merupakan entiti yang akan bertanggungjawab membangunkan dana bagi pelaksanaan projek TRA.

Beliau berkata, projek tersebut setakat ini telah menerima sumbangan wakaf sebanyak RM1.5 juta daripada syarikat Otai Group bagi memulakan pembinaan masjid di dalam kawasan tersebut.

“Kami juga akan kempen projek ini kepada syarikat korporat, pertubuhan serta usahawan di seluruh negara supaya mereka juga boleh memberi sumbangan wakaf melalui ahli-ahli mereka,” jelasnya.

Pada masa sama, Abdul Rahim berkata, pihaknya juga sedang berusaha membangunkan dana wakaf bagi membiayai tiga institusi pendidikan di bawah Peyatim melalui penjualan lot tanah seluas 128 hektar di Setiu, Terengganu pada kadar RM30 bagi setiap satu kaki persegi.

Tiga institusi terbabit iaitu University College Bestari (UCB), Kolej Teknologi Bestari (Kemahiran) (KTB) dan Institut Kemahiran Bestari (ITB) ditubuhkan bagi menyediakan peluang pendidikan khususnya kepada anak yatim dan anak miskin.

Setakat ini, jumlah graduan dan lulusan dihasilkan oleh UCB ialah seramai 9,298 orang diikuti KTB (1,714) dan IKB (2,206).

Sejak penubuhannya pada 2011, Yawatim yang turut bertanggungjawab membiayai pendidikan anak yatim dan anak miskin melanjutkan pelajaran di institusi pengajian di bawah Peyatim berjaya mengumpulkan dana wakaf sebanyak RM33 juta.