Tiada projek pembangunan di Taman Rimba Kiara

Taman Rimba Kiara
Taman Rimba Kiara
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan menolak perintah pembangunan yang diberikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi cadangan pembangunan projek kediaman di Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang, dalam keputusan sebulat suara hari ini berkata rayuan yang dikemukakan tiada merit.

Cadangan pembangunan itu yang merangkumi sembilan blok pangsapuri bertingkat, terutamanya lapan blok pangsapuri servis 42-54 tingkat dan satu blok pangsapuri mampu milik 29 tingkat, dengan satu ruang bawah tanah dan tempat letak kereta podium.

Pada 2021, Mahkamah Rayuan menolak perintah pembangunan itu selepas keputusannya memihak kepada semakan kehakiman yang dimohon Persatuan Penduduk TTDI.

Semasa membaca keputusannya, Hakim Nallini berkata, perintah pembangunan itu seharusnya diketepikan kerana wujudnya konflik kepentingan, memandangkan Datuk Bandar Kuala Lumpur menganggotai lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), yang merupakan salah satu daripada empat perayu.

Selain DBKL dan YWP, dua lagi perayu ialah Memang Perkasa Sdn Bhd dan Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara.

Hakim Nallini berpendapat bahawa apabila yayasan itu (YWP) memeterai perjanjian usaha sama dengan Memang Perkasa sebelum pemberian hak milik tanah, Datuk Bandar mengetahui daripada Rancangan Struktur KL 2020 bahawa tanah itu adalah kawasan hijau terbuka untuk kegunaan awam.

Pemberian hak milik tanah kepada YWP bersempena perjanjian usaha sama dengan Memang Perkasa akan melibatkan perubahan guna tanah kepada pembangunan bercampur. Bagaimanapun ia tidak mematuhi Akta Wilayah Persekutuan dari segi variasi atau pindaan kepada Rancangan Struktur KL 2020.

"Sehubungan itu Datuk Bandar dilihat memainkan tiga peranan iaitu dia adalah sebahagian daripada entiti yang meluluskan pemberian hak milik tanah subjek, Datuk Bandar adalah sebahagian daripada pemohon kebenaran merancang iaitu YWP kerana ia adalah seorang ahli lembaga pemegang amanah, dan Datuk Bandar juga merupakan entiti yang mengeluarkan perintah pembangunan pada 13 Julai 2017 yang telah ditolak," tambahnya.

Hakim Nallini juga berkata, proses membuat keputusan di sebalik perintah pembangunan itu adalah cacat kerana ia melanggar keperluan di bawah Akta Wilayah Persekutuan, untuk memaklumkan orang ramai dan membenarkan mereka mengambil bahagian dalam proses perancangan.

"Ini terutamanya dalam rayuan semasa, dengan pihak berkuasa tempatan terpesong dari Rancangan Struktur KL 2020 dalam mengeluarkan perintah pembangunan," katanya.

"Orang ramai seharusnya tidak perlu dibiarkan menunggu sehingga mereka memfailkan prosiding undang-undang untuk pihak berkuasa memberikan alasan dalam perjalanan prosiding undang-undang. Kami berpendapat bahawa apabila pihak berkuasa awam bertindak demi kepentingan awam, pihak berkuasa itu mempunyai tanggungjawab kepada orang ramai untuk wajib berterus-terang dalam prosiding semakan kehakiman, bagi membuat pendedahan penuh dan adil semua bahan yang berkaitan," katanya.

Hakim Nallini berkata, pihak berkuasa sedemikian mempunyai tugas utama untuk membantu mahkamah dengan mengemukakan semua bahan yang diperlukan bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan yang tepat.

Beliau berkata, apabila mahkamah mendapati dengan sendiri bahawa terdapat isu berkaitan kes itu yang tidak dibawa kepada perhatiannya, mahkamah tidak boleh dihalang daripada mempertimbangkan dan memutuskan isu berkenaan.

AKAN MENYUSUL