Tahu dilarang tapi masih ceroboh hutan simpan

17 individu ditahan kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan Ayer Itam, Puchong dalam operasi penguatkuasaan oleh JPNS. (Gambar kecil: Siti Syafiqah)
17 individu ditahan kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan Ayer Itam, Puchong dalam operasi penguatkuasaan oleh JPNS. (Gambar kecil: Siti Syafiqah)
A
A
A

PUCHONG - "Tahu tak boleh masuk di depan pun ada papan tanda, tapi saya tengok ramai yang masuk saya ikut sahaja" itu antara alasan yang paling kerap diberikan oleh individu ditahan kerana menceroboh kawasan Hutan Simpan Ayer Itam di sini pada Sabtu.

Tinjaun Sinar Harian mendapati, rata-rata individu yang ditahan berkenaan mengaku sedar berhubung larangan masuk ke kawasan hutan tersebut tanpa kebenaran serta permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Pegawai Hutan JPNS Daerah Selangor Tengah, Siti Syafiqah Yusof berkata seramai 17 individu ditahan di sekitar kawasan berkenaan dalam operasi penguatkuasaan yang bermula sekitar jam 6.30 pagi tersebut.

"Objektif operasi ini adalah untuk menghalang mana-mana individu daripada memasuki kawasan hutan simpan kekal ini yang merupakan hutan simpan yang dikelaskan sebagai tertutup.

"Terdapat tiga zon utama operasi iaitu Zon A (laluan keluar trek), Zon B (laluan masuk trek) dan Zon C (kawasan air terjun dan blue lagoon).

"Individu yang ingin memasuki kawasan hutan tetutup ini perlu mendapatkan permit daripada JPNS dengan bayaran RM5 seorang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi operasi di sini pada Sabtu.

Seramai 50 anggota terdiri daripada pegawai JPNS 15 orang, anggota polis (16), anggota Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSA) (11) dan kakitangan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) (8).

Mengulas lanjut, Siti Syafiqah berkata, kesemua individu terdiri daripada 10 lelaki dan tujuh wanita tempatan berkenaan dibawa ke Balai Polis Kinrara dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kes akan disiasat di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang mana sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.