Kes Tibi di Terengganu terkawal, 60 kes direkodkan sehingga Februari

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penyakit tuberkulosis atau tibi di Terengganu dilaporkan masih berada dalam keadaan terkawal dengan 60 kes baharu didaftarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) setakat 7 Februari lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, statistik tersebut direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-5 tahun ini.

Menurutnya, trend semasa menunjukkan jumlah jangkitan tidak menunjukkan peningkatan yang drastik, sebaliknya hampir menyamai angka yang dicatatkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2025.

“Kesemua pesakit yang dikesan kini sedang menjalani rawatan di bawah pemantauan rapi pihak JKNT bagi memastikan proses penyembuhan berjalan lancar.

“Secara keseluruhannya, data dari tahun 2023 hingga 2025 menunjukkan penurunan yang konsisten iaitu daripada 680 kes (2023) kepada 632 kes (2024) dan terus berbaki 608 kes pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi menjelaskan bahawa Terengganu kekal menjadi antara tiga negeri yang mencatatkan kadar insiden terendah di seluruh negara.

Beliau berkata, kadar insiden kes baharu di Terengganu hanyalah 48.5 bagi setiap 100,000 populasi, jauh lebih rendah berbanding purata kebangsaan iaitu 78.1 bagi setiap 100,000 penduduk.

Mengulas mengenai punca jangkitan, beliau berkata bakteria Mycobacterium tuberculosis merebak melalui titisan pernafasan di udara apabila pesakit batuk, bersin atau bercakap tanpa menutup mulut.

“Risiko jangkitan biasanya lebih tinggi dalam kalangan kontak rapat seperti ahli keluarga, rakan sekerja atau rakan serumah.

Artikel Berkaitan:

“Golongan berisiko tinggi pula melibatkan penghidap penyakit kronik seperti kencing manis, HIV dan penyakit buah pinggang, warga emas, kanak-kanak, perokok serta individu yang tinggal di kediaman yang sesak dan kurang pengudaraan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Sukairi memberi jaminan bahawa penyakit tibi boleh disembuhkan sepenuhnya sekiranya pesakit patuh kepada rejimen rawatan harian selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Jelas beliau, pesakit kebiasaannya tidak lagi berisiko menjangkiti orang lain selepas dua minggu memulakan rawatan yang teratur.

“Masyarakat dinasihatkan supaya segera melakukan saringan jika bergejala seperti batuk melebihi dua minggu, demam pada waktu malam atau mengalami susut berat badan yang ketara.

“Jangan sesekali berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor bagi mengelakkan kuman menjadi kebal atau tuberkulosis rintang ubat (Drug-Resistant TB),” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menitikberatkan aspek kebersihan rumah yang perlu mempunyai aliran udara dan cahaya matahari yang mencukupi sebagai langkah pencegahan tambahan.

“Berikan sokongan moral kepada pesakit. Perlu diingat, tibi ialah penyakit berjangkit yang boleh dirawat dan bukannya penyakit keturunan,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Penyakit tuberkulosis di Terengganu dilaporkan terkawal dengan 60 kes baru didaftarkan setakat 7 Februari
  • Trend semasa menunjukkan jumlah jangkitan tidak menunjukkan peningkatan drastik dan hampir menyamai angka tahun 2025
  • Data dari tahun 2023 hingga 2025 menunjukkan penurunan konsisten kes tuberkulosis
  • Kadar insiden kes baru di Terengganu adalah 48.5 bagi setiap 100,000 populasi, lebih rendah daripada purata kebangsaan
  • Penyakit tibi boleh disembuhkan sepenuhnya dengan patuh kepada rejimen rawatan harian selama sekurang-kurangnya enam bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!