Pas tak boleh masuk ke 'dapur masakan' DAP - Hadi

Abdul Hadi - Foto fail Bernama
Abdul Hadi - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu tidak boleh ditipu dan diheret keluar daripada dasarnya serta hala tuju Islamnya.

Justeru katanya, Pas tidak boleh dimasukkan ke dalam 'dapur masakan' DAP yang ada bersamanya makanan tidak halal, walaupun bertukar tukang masaknya atau diambil tukang masak beragama Islam.

"Pas mempunyai pendekatan Islam dalam masyarakat majmuk yang tidak menghalang kalangan bukan Islam menganut agama masing-masing.

"Bahkan, perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam dibenarkan kepada mereka secara bertasamuh mengikut sempadan masing-masing dan bersatu dalam titik persamaan dari segi kemanusiaan sejagat.

"Al-Quran tetap menjadi petunjuk kepada Pas bagi mengenal kawan dan lawan," katanya menerusi Minda Presiden Pas pada Jumaat.

Abdul Hadi menjelaskan, Pas tidak lupa sejarah ketika penjajah melakukan tipu helahnya, ketika raja-raja ditawan dan dicabut kuasa yang berdaulat, rakyatnya pula ditipu dan dibuli.

"Dulu Pas bertahaluf dengan DAP dan bersama parti-parti lain dalam gagasan pembangkang berkonsepkan titik persamaan kemanusiaan yang tidak menyentuh dasar parti dan tidak terpesong hala tujunya.

"Pas menarik diri daripada tindakan agresif melalui Bersih bersama DAP dan rakan-rakannya yang tidak menunjukkan kebersihannya dalam amalan demokrasi yang sebenar.

"Sehinggakan, boleh mengundang campur tangan asing dalam urusan tanah air kita," katanya.

Dakwanya lagi, DAP mendedahkan penipuan yang tidak dapat disembunyikan lagi apabila bekerjasama dengan UMNO dengan tujuan mendapat undi Melayu Islam bagi menampung kegagalan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara yang kehilangan undi Melayu Islam.

"Langkah yang menguji rakan-rakan UMNO, sama ada perjuangan politik kerana cari makan dan jawatan atau kerana syarat menunaikan amanah perjuangan agama, bangsa dan tanah air dengan kuasa politik," katanya.