Lelaki Kemboja dipenjara ceroboh hutan pemuliharaan

Tertuduh ketika dibawa untuk sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen Temerloh pada Jumaat.
Tertuduh ketika dibawa untuk sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Kemboja dihukum penjara selama 18 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Temerloh pada Jumaat atas tuduhan memasuki Hutan Pemuliharaan Tasek Bera Ramsar dan memiliki hasil hutan (kayu gaharu) secara menyalahi undang-undang pada 14 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Sangtun didakwa bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 84(1) akta sama atas kesalahan memiliki, menjaga atau mengawal hasil hutan secara menyalahi undang-undang dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara selama 12 bulan dan 18 bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Hukuman penjara terhadap tertuduh yang diputuskan Hakim, Jamaluddin Mat bagi kedua-dua pertuduhan itu bagaimanapun berjalan serentak bermula pada tarikh tangkap.

Mahkamah turut membenarkan barang kes dilucut hak kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Sarah Zainal Abidin.