Kelantan teliti kesesuaian warta kawasan tadahan air

MOHD AMAR. FOTO SINAR HARIAN
MOHD AMAR. FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan merujuk Jabatan Perhutanan Negeri (Perhutanan) Kelantan bagi menentukan kesesuaian lima kopartment hutan di Kampung Chuchoh Puteri A dan B di Manik Urai, Kuala Krai yang diminta untuk diwartakan sebagai kawasan tadahan air bagi kegunaan kira-kira 6,500 penduduk di kawasan itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Perhutanan perlu membuat kajian sama ada kawasan tadahan itu bersih dan berkapasiti mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

“Umumnya Perhutanan negeri memang mengenalpasti kawasan hutan yang menjadi tadahan air dan sebahagian kawasan ini sudah dimasukkan dalam senarai hutan simpan perlindungan atau yang tidak boleh dibuat pengeluaran hasil hutan.

“Kena buat kajian dulu bagi memastikan kompartmen dan kesesuaian dengan mendapatkan maklum balas daripada Perhutanan negeri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan di Kota Darul Naim, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, mengikut polisi kerajaan tidak akan menganggu kawasan yang sudah dijadikan sumber bekalan air bersih oleh penduduk.

“Ada kes-kes terpencil bagi sesetengah tempat itu memang ada tadahan air tetapi sudah tidak berfungsi jadi kerajaan memberi kebenaran untuk pembalakan tetapi kalau kawasan tadahan air penduduk, kerajaan tidak usik.

“Sebelum ini pun ada beberapa kes kerajaan negeri membatalkan permit pembalakan dan penebangan hutan apabila kawasan berkenaan didapati terdapat kawasan tadahan air bersih bagi kegunaan penduduk,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kira-kira 6,500 penduduk di Chuchoh Puteri A dan Chuchoh Puteri B, Kuala Krai, memohon agar kawasan tadahan air di Sungai Sok yang digunakan mereka diwartakan.

Artikel Berkaitan:

Permintaan itu berikutan dakwaan air sungai bertukar menjadi keruh seperti teh susu setiap kali hujan akibat kesan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) blok Sungai Rek, Kuala Krai, yang berlaku sejak sekian lama.