KPKT peruntuk RM8.94 juta selenggara kolam tadahan air

Akmal Nasrullah (dua, kiri) meluluskan peruntukan RM500,000 kepada MBJB untuk menyelenggara kolam tadahan air di Pangsapuri Larkin Idaman Lot C.
Akmal Nasrullah (dua, kiri) meluluskan peruntukan RM500,000 kepada MBJB untuk menyelenggara kolam tadahan air di Pangsapuri Larkin Idaman Lot C.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sejumlah RM8.94 juta kepada kerajaan negeri Johor bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kolam tadahan air bagi kawasan penempatan di seluruh negeri itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, peruntukan berkenaan disalurkan kepada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan 28 kolam tadahan air.

"Peruntukan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2023 yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Peruntukan berkenaan akan disalurkan menerusi PBT yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin dan disiapkan pada tahun ini juga sebagai persediaan kemungkinan berlaku banjir kilat.

"KPKT juga mengalu-alukan sekiranya ada lagi senarai kolam takungan yang mana bersesuaian untuk diselenggara dan tambah baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah meninjau kolam tadahan sempena Majlis Penyerahan Surat Peruntukan Projek Kolam Tadahan di Pangsapuri Larkin Idaman Lot C di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah KPKT, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, KPKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menyelenggara kolam tadahan air di pangsapuri berkenaan.

Katanya, kerja-kerja penyelenggaraan itu bukan sahaja sekadar membersihkan tetapi mendalamkan kolam supaya dapat mengelakkan berlakunya hakisan dan sebagainya.

"Saya turut berkongsi pandangan dengan Datuk Bandar Johor Bahru supaya kemudahan kolam tadahan ini boleh dipertimbangkan untuk dinaik taraf menjadi sebuah pusat rekreasi pada masa akan datang.

"Insya-Allah, isu-isu yang lain berkaitan dengan KPKT, kita tunggu pengumuman oleh Menteri, Nga Kor Ming yang dijangka mengadakan lawatan kerja pada Isnin ini," katanya.