Peniaga rugi RM45,400 angkara 'Sarjan Siva', pegawai LHDN palsu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM45,400 selepas ditipu dua individu, masing-masing menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 32 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu mendakwa sebagai pegawai LHDN, pada jam 1.30 petang Ahad.

Menurutnya, individu terbabit memaklumkan syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai syarikat sebanyak RM54,978.

"Mangsa menafikan mempunyai tunggakan cukai itu dan panggilan kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa dirinya sebagai Sarjan Siva dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.

"Suspek kemudian menghantar satu pautan yang telah dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa dan meminta mangsa menekan pautan MyBNM serta mengisi maklumat berkaitan termasuk akaun bank milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa membuat semakan akaun bank miliknya pada Selasa, namun malangnya apabila mendapati wang simpanan berjumlah RM45,400 lesap.

Jelasnya, mangsa seterusnya buat semakan di sebuah bank di daerah ini bagi mengetahui lebih lanjut berhubung kehilangan wang dalam akaunnya.

"Hasil semakan daripada pegawai bank, wang itu telah dipindahkan ke satu nombor akaun bernama Ridzuan Ramdan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Rabu selepas merasakan dirinya ditipu," katanya.

Mohd Wazir memaklumkan, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis bagi tujuan penipuan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menjelaskan, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pemilik akaun yang digunakan untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa serta rangkaian sindiket Macau Scam terlibat.