Isu perolehan MINDEF: SPRM dijangka bertemu Menteri Pertahanan

Azam (kiri) hadir Majlis MoU SPRM dan HELP Universiti di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Azam (kiri) hadir Majlis MoU SPRM dan HELP Universiti di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertemu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut isu perolehan di kementerian tersebut.

Pertemuan itu susulan kenyataan Mohamed Khaled mengenai rombakan pelan anti-rasuah secara besar-besaran bagi membanteras gejala rasuah dan segala bentuk salah guna kuasa dalam sistem pertahanan negara pada tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu telah dinyatakan secara jelas oleh Mohamed Khaled.

Menurutnya, isu berkaitan perolehan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) merupakan perkara yang sering menjadi perhatian masyarakat dan perlu diteliti berdasarkan kes yang sedang disiasat ketika ini.

“Peranan kami (SPRM) selepas ini, mungkin dalam tempoh terdekat… minggu depan, saya akan membuat kunjungan hormat kepada beliau (Mohamed Khaled) dan juga kepada Ketua Setiausaha untuk membincangkan lebih lanjut berhubung pelbagai isu perolehan di MINDEF.

“Cuba bayangkan sendiri sebesar mana masalah ini berdasarkan pangkat pegawai yang terlibat. Ia memang besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP Universiti di Bukit Kiara, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Canselor dan Pengasas Bersama HELP Universiti, Datuk Profesor Dr Paul Chan.

Ketika ditanya sama ada SPRM akan menyerahkan input hasil siasatan kepada MINDEF, Azam menjelaskan bahawa pihaknya tidak hanya melihat kepada isu yang berlaku semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, aspek berkaitan peraturan, prosedur dan ketirisan turut menjadi fokus siasatan SPRM.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Mohamed Khaled dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 di Wisma Perwira memaklumkan bahawa semua proses tender dan perolehan akan disemak semula serta diperbaiki agar selari dengan amalan terbaik.

Mohamed Khaled menegaskan, rasuah menafikan hak Malaysia untuk memiliki aset pertahanan yang berkualiti, selain mengancam keselamatan anggota tentera, menyebabkan pembaziran serta ketidakcekapan, dan akhirnya menjejaskan keberkesanan agensi pertahanan negara.

Ringkasan AI

  • SPRM akan bertemu Menteri Pertahanan untuk bincang isu perolehan di Kementerian Pertahanan
  • Mohamed Khaled umum rombakan pelan anti rasuah untuk banteras rasuah dalam sistem pertahanan
  • Azam Baki kata isu perolehan di Kementerian Pertahanan perlu diteliti
  • SPRM akan kunjungi Mohamed Khaled untuk bincangkan lebih lanjut isu perolehan
  • Mohamed Khaled akan semak semula proses tender dan perolehan untuk amalan terbaik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!