Pemandu treler didakwa pandu melulu hingga sebabkan kematian

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian di Lebuh Raya Linkedua, Iskandar Puteri, minggu lalu.
Muhammad Nazri Barahama, 34, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal lelaki berusia 30 tahun kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 4.40 petang di Lebuh Raya Linkedua pada 8 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Inspektor S. Vikineswari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu lesen memandu digantung dan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sekali sebulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya lesen memandunya tidak digantung.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 24 Februari depan bagi sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Ringkasan AI
- Seorang pemandu treler di Johor Bahru mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu melulu yang menyebabkan kematian
- Tertuduh didakwa atas kesalahan pada 8 Januari lalu di Lebuh Raya Linkedua
- Muhammad Nazri, tertuduh, berusia 34 tahun
- Hukuman di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk penjara 5-10 tahun dan denda RM20,000-RM50,000
- Mahkamah menjatuhkan jaminan RM5,000 dan menggantung lesen memandu tertuduh sementara kes berjalan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
