Bekas Pengerusi Serantau Muslim didakwa lagi, disyaki salah guna RM576,000

Mohd Hakim berdepan enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Selasa.
Mohd Hakim berdepan enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim sekali lagi didakwa atas pertuduhan salah guna wang misi kemanusiaan membabitkan lebih RM576,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa.

Tertuduh, Mohd Hakim Mohd Nor, 39, berdepan enam pertuduhan dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh didakwa, sebagai pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) itu, secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik pertubuhan berkenaan iaitu wang derma bantuan misi kemanusiaan dengan kerjasama NGO di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

Pertuduhan pertama membabitkan salah guna wang sebanyak RM451,000, kedua RM12,000, ketiga RM80,000, keempat RM4,000, kelima RM19,995.40 dan keenam RM10,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Jun 2019 hingga Mei 2021 di sebuah bank cawangan di Merlimau, Melaka.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM200,000 dengan mengambil kira keseluruhan amaun dan keseriusan kes.

Bagaimanapun, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM30,000 kerana jumlah jaminan yang dicadangkan terlalu tinggi.

Menurutnya, tertuduh hanya diarahkan hadir minggu lalu dan telah hadir pada jam 8.30 pagi ini selain berulang-alik ke SPRM untuk membantu siasatan serta memberikan kerjasama yang baik.

Artikel Berkaitan:

“Semalam, anak guam telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes berjumlah RM207,000 dan ditawarkan ikat jamin RM10,000.

“Dimaklumkan anak guam juga akan menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak. Justeru bagi memastikan kehadirannya, mohon mahkamah memberikan jaminan yang mampu dibayar,” katanya.

Beliau turut memohon jaminan rendah memandangkan penjamin merupakan isteri tertuduh yang berpendapatan RM1,500 sebulan serta menanggung tiga anak dan ibu bapa yang telah berusia.

Hakim Elesabet membenarkan jaminan keseluruhan RM35,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Mac depan.

Ringkasan AI

  • Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim didakwa salah guna wang RM576,000
  • Mohd Hakim Mohd Nor mengaku tidak bersalah kepada enam pertuduhan
  • Dituduh menyalahgunakan dana misi kemanusiaan di Myanmar, Yaman, Syria, dan Palestin
  • Dakwaan meliputi persediaan antara Jun 2019 hingga Mei 2021
  • Jaminan RM35,000 diberikan, sebutan semula kes pada 13 Mac

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!