Teruja pulangan lumayan, perunding hartanah rugi lebih RM622,000

Mangsa dipercayai dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan skim pelaburan dengan pulangan keuntungan sebanyak 50 peratus bagi setiap pelaburan - Gambar kecil (Yahaya)
Mangsa dipercayai dihubungi suspek menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan skim pelaburan dengan pulangan keuntungan sebanyak 50 peratus bagi setiap pelaburan - Gambar kecil (Yahaya)
A
A
A

KUANTAN – Teruja untuk meraih keuntungan lebih besar, seorang perunding hartanah sambilan sanggup melabur semula kesemua RM140,889 hasil pulangan awal atas nasihat ejen satu skim pelaburan yang disertainya.

Namun, tindakan lelaki warga emas berusia 71 tahun itu membawa padah apabila skim pelaburan tersebut rupa-rupanya tidak wujud menyebabkan dia menanggung kerugian melebihi RM622,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diarahkan suspek untuk menambah modal pelaburan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan pengeluaran keseluruhan wang keuntungan.

Menurutnya, mangsa dipercayai dihubungi suspek pada 16 Oktober tahun lalu menerusi aplikasi WhatsApp, yang menawarkan skim pelaburan dengan pulangan keuntungan sebanyak 50 peratus bagi setiap pelaburan.

“Lelaki warga emas itu kemudiannya ditawarkan untuk menyertai pelaburan ‘JMC M Trading Venture’ melalui satu aplikasi yang diberikan oleh suspek.

“Dalam tempoh 27 Oktober hingga 27 Disember tahun lalu, mangsa telah membuat sebanyak 16 transaksi pembayaran melalui empat akaun bank, melibatkan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM622,161 yang diambil daripada wang simpanan peribadinya,” katanya.

Susulan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berhampiran sebelum menyertai sebarang pelaburan, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi.

“Sekiranya menyedari menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Warga emas 71 tahun rugi lebih RM622,000 akibat terlibat dalam skim pelaburan palsu
  • Disaran untuk menambah modal pelaburan RM1 juta untuk boleh keluar wang keuntungan
  • Ditipu melalui tawaran pelaburan di aplikasi WhatsApp dengan keuntungan 50%
  • Mangsa buat 16 transaksi bayaran melalui empat akaun bank, jumlah pelaburan RM622,161
  • Masyarakat disaran semak nombor akaun di https://semakmule.rmp.gov.my/ dan hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 jika syak penipuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!