30 kanak-kanak kumpulan pertama terima vaksin di Pahang

Radiah menemani anaknya, Ahmad Aqil Asraaf menerima suntikan vaksin pada hari pertama PICK Kids di Pahang di SPPV HTAA di sini pada Isnin.
Radiah menemani anaknya, Ahmad Aqil Asraaf menerima suntikan vaksin pada hari pertama PICK Kids di Pahang di SPPV HTAA di sini pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 30 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menjadi kumpulan pertama penerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICK Kids) hari pertama di negeri ini pada Isnin.

Proses pemberian vaksin yang diadakan di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bermula jam 9.30 pagi berjalan lancar.

Rata-rata ibu bapa ditemui Sinar Harian memilih untuk menghantar anak masing-masing menerima suntikan vaksin kerana yakin langkah itu satu ikhtiar untuk kehidupan yang lebih selamat.

Peningkatan kembali kes jangkitan Covid-19 di negara ini antara faktor mereka merebut peluang melalui PICK Kids untuk menghantar anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin dengan segera.

Bagi Saidatul Asyikin Nordin, 37 dan suami, Mohd Amri Abdul Basid, 40, mereka tidak ragu-ragu menghantar tiga anak serentak bagi mendapatkan vaksin di SPPV HTAA.

Anak mereka, Affan Zareef,11, Ahmad Aeril Zafrel, 10 dan Annur Jelita Zahra, 5 juga teruja untuk menerima vaksin tanpa rasa takut.

Saidatul Asyikin berkata, keputusan itu diambil demi kebaikan semua anak-anaknya.

Menurutnya, dalam situasi kes yang semakin meningkat kebelakangan ini, dia dan suami bimbang risiko jangkitan terhadap anak-anaknya lebih-lebih lagi salah seorang daripada anaknya itu mengidap asma.

Artikel Berkaitan:

"Sekurang-kurangnya vaksin ini dapat melindungi mereka daripada kesan lebih serius sekiranya dijangkiti.

"Saya dan suami serta anak-anak sudah berbincang dan mengambil keputusan ini secara bersama dengan penuh yakin," katanya ketika ditemui di SPPV HTAA pada Isnin.

Perjalanan hari pertama PICK Kids di HTAA pada Isnin berjalan lancar.
Perjalanan hari pertama PICK Kids di HTAA pada Isnin berjalan lancar.

Katanya, proses pemberian vaksin untuk anak-anaknya juga berjalan lancar dan cepat.

Bagi Rohaizan Rahman, 41, dua anaknya Azrieza Qalesya Mohamad Azrul Safuan, 11 dan Azrieza Qairina, 7 tiada masalah dan tahu tentang kebaikan vaksin untuk kesihatan mereka.

"Saya sayangkan anak-anak dan sentiasa menitikberatkan tentang kesihatan mereka justeru melalui suntikan vaksin ini sebagai satu usaha untuk melindungi seluruh keluarga sentiasa mengamalkan langkah kawalan dengan mematuhi sop ditetapkan.

"Semua anak-anak saya seramai empat orang sudah pun divaksin jadi kurang sikitlah rasa bimbang lebih-lebih lagi ketika mereka ke sekolah atau mejalankan aktiviti di luar," katanya.

Pandangan sama dikongsi Radiah Abdul Rahim,46 dimana anaknya, Ahmad Aqil Asraaf Ahmad Farki, 12 antara penerima vaksin kumpulan pertama PICK Kids di negeri ini.

Dia menyambut baik pelaksanaan PICK Kids demi kebaikan anaknya dan kanak-kanak lain.

"Bila ada peluang, saya terus daftarkan anak dan dapat panggilan untuk menerima vaksin hari ini (Isnin)," katanya.

Sementara itu bagi Jalaluddin Mat, 45 dia ketepikan pandangan sesetengah pihak yang mendakwa vaksin tidak sesuai untuk kanak-kanak.

"Sebagai bapa, kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak termasuk dalam soal kesihatan.

"Suntikan vaksin satu usaha pencegahan dalam kita melindungi anak ketika situasi pandemik Covid-19 yang terus berlanjutan ketika ini.

"Alhamdulillah, hari ini anak saya, Ihsaanul Haqq, 11 telah selesai menerima vaksin," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam kenyataan memaklumkan, Program PICK Kids hari pertama turut diadakan di Hospital Pekan pada sebelah petang dengan 20 penerima disenaraikan.

Menurutnya, sehingga Sabtu lalu, seramai 28,446 kanak-kanak atau 14.3 peratus daripada anggaran 197,700 kanak-kanak di negeri ini telah didaftarkan oleh ibubapa.dan penjaga sebagai ’dependant’ dalam sistem MySejahtera.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus dalam kenyataannya sebelum ini berkata, bilangan PPV yang dirancang untuk PICK Kids di Pahang sebanyak 78 buah terdiri 11 SPPV, klinik kesihatan (60 buah) dan PPV 'offsite' (7) buah.

Terdapat juga beberapa PPV jangkau luar (outreach) sekolah yang sedang diperhalusi untuk dibuka bagi tujuan ini.

Jumlah PPV bagi program itu mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada liputan vaksinasi.