'Kami sudah kehabisan masa' - Mesej terakhir kru pesawat sebelum terhempas

FLORIDA - Penyiasat Amerika Syarikat sedang meneliti kemungkinan sebuah jet peribadi yang terhempas di Florida pada Ahad berkecai di udara sebelum menjunam ke jalan raya dan meletup, mengorbankan kesemua sembilan individu di dalamnya.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) berkata, siasatan akan memberi fokus kepada sama ada terdapat komponen pesawat yang tercabut sebelum nahas melibatkan Learjet 60 itu berlaku.
Pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Austin, Texas ke Bahamas sebelum terhempas kira-kira 14 kilometer dari resort Mar-a-Lago milik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Antara mangsa yang terkorban ialah seorang usahawan teknologi bersama isteri dan dua anak mereka, selain pembantu juruterbang berusia 20 tahun.
NTSB pada Isnin berkata, pihaknya turut menyiasat sejauh mana faktor pembentukan ais dan pergolakan udara (turbulence) mungkin menyumbang kepada nahas tersebut.
Menurut agensi itu, kru pesawat memaklumkan kepada menara kawalan trafik udara sejurus selepas berlepas dari Austin bahawa mereka berdepan keadaan ais serta pergolakan udara pada tahap sederhana.
"Kami sedang melalui hujan dan memohon kebenaran untuk naik ke ketinggian 37,000 kaki jika dibenarkan," menurut komunikasi yang direkodkan antara kru dan pengawal trafik udara.
Anggota NTSB, Tom Chapman berkata, kurang 30 saat selepas itu, pesawat mula kehilangan altitud sebelum kru mengeluarkan panggilan kecemasan mayday.
Beliau berkata, komunikasi seterusnya menjadi tidak jelas sebelum hubungan terputus.
"Malangnya, semua yang berada di dalam pesawat terkorban," katanya.
NTSB menegaskan, walaupun faktor ais dan pergolakan udara dikenal pasti sebagai elemen yang wujud ketika kejadian, proses menentukan punca sebenar nahas dijangka mengambil masa yang panjang.
Ribut petir turut dilaporkan melanda kawasan berkenaan ketika insiden berlaku.
Penyiasat juga sedang menentukan sama ada pesawat itu dilengkapi perakam suara kokpit (CVR) serta sama ada peranti berkenaan dapat ditemui semula.
Siasatan dijalankan dengan kerjasama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), wakil pengeluar Learjet, pakar meteorologi serta pakar kawalan trafik udara.
Penyiasat keselamatan udara NTSB, Timothy Monville berkata, usaha mengeluarkan bangkai pesawat daripada kawah besar yang terbentuk di atas jalan raya dijangka menjadi satu cabaran yang sukar.
Analisis data penerbangan menunjukkan pesawat itu menjunam pada kadar ratusan kaki sesaat sebelum menghentam permukaan bumi.
Rakaman audio komunikasi trafik udara turut merekodkan seorang kru mengisytiharkan kecemasan sambil memaklumkan pesawat berada dalam keadaan overspeed dan sedang menurun pada kadar 20,000 kaki seminit.
Kru itu kemudian dilaporkan berkata pesawat berkenaan bakal terhempas ke tanah.
Kira-kira 35 saat selepas panggilan mayday pertama dibuat, mesej terakhir yang kedengaran dari kokpit ialah: "Kami sudah kehabisan masa."
Dalam satu kenyataan bersama keluarga mangsa, tujuh penumpang yang terkorban dikenal pasti sebagai usahawan teknologi Adam Robinson, isterinya Helen Sharp, serta dua anak mereka, Emma dan Charlie.
Turut maut ialah Rachael Reed, Charmi Fehr dan Anita Maria Cetina.
Media tempatan mengenal pasti juruterbang pesawat sebagai Jeffery Gregory, manakala Nathalia Filgueiras yang memperoleh lesen juruterbang pada usia 17 tahun dilaporkan bertugas sebagai pembantu juruterbang.
Selain sembilan mangsa yang maut, seorang lelaki di darat mengalami kecederaan pada kaki selepas pesawat itu menjunam ke jalan raya.
Pejabat Sheriff Palm Beach County memaklumkan, nahas berlaku di Military Trail, sebuah jalan raya enam lorong yang dikelilingi premis perniagaan dan restoran.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan sebuah kawah besar yang masih terbakar di tengah jalan kawasan perumahan.
Pegawai yang memberi taklimat kepada media berkata serpihan pesawat ditemui bertaburan di kawasan padang sukan, premis perniagaan dan rumah penduduk sekitar, sekali gus menimbulkan kemungkinan bahawa pesawat itu mula berkecai sebelum menghentam tanah.
Rakaman video yang belum disahkan dan tular di media sosial dipercayai merakam detik pesawat berkenaan terhempas.
Trump berada di Mar-a-Lago pada pagi Ahad dan berlepas menggunakan Air Force One dari lapangan terbang berhampiran kira-kira sejam sebelum tragedi itu berlaku. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
