Sila log masuk terlebih dahulu.

Kes Covid-19 terus melonjak kepada 10,089

Kes harian Covid-19 terus melonjak kepada 10,089 pada Ahad berbanding 9,117 pada Sabtu. - Gambar hiasan
Kes harian Covid-19 terus melonjak kepada 10,089 pada Ahad berbanding 9,117 pada Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kes harian Covid-19 terus melonjak kepada 10,089 pada Ahad berbanding 9,117 pada Sabtu, sekali gus mencatatkan kes harian tertinggi dilaporkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan bermula Oktober tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 2,914,220 kes.

Beliau berkata, Selangor terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi dengan 2,549 diikuti Johor (1,582) dan Sabah (1,285).

“Kedah pula melaporkan sebanyak 904 kes, Pahang (624) dan Pulau Pinang 542 kes.

“Negeri lain masih merekodkan kes bawah 500 iaitu Kuala Lumpur dengan 491 kes, Kelantan (471), Negeri Sembilan (464), Melaka (457), Perak (321), Terengganu (213), Putrajaya (61), Sarawak (58), Perlis (44) dan Labuan (23),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata, daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan pada Ahad, sebanyak 77 kes merupakan kategori tiga hingga lima manakala 10,012 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Kes sembuh pula adalah sebanyak 6,460 kes manakala bagi kes import, 143 kes dilaporkan dengan 46.9 peratus atau 67 orang melibatkan warganegara manakala 53.1 peratus atau 76 kes bukan warganegara.

“Bagi kes tempatan pula sebanyak 9,946 kes iaitu melibatkan 9,676 warganegara (97.3 peratus) dan 270 bukan warganegara (2.7 peratus).

Artikel Berkaitan:

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula sebanyak 137 kes, manakala 71 kes lagi memerlukan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 11 lagi kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan 6,499 kluster.

"Daripada jumlah itu, 6,138 kluster telah diisytiharkan tamat dan 361 kluster lagi masih masih aktif," katanya.

Dalam perkembangan sama, Perlis merekodkan kadar kebolehjangkitan (Rt) tertinggi iaitu 1.49 melebihi Rt negara, 1.20.

Beberapa negeri lain yang turut mencatatkan nilai Rt tinggi ialah Sabah (1.41), diikuti Putrajaya (1.29) Kedah (1.22) dan Selangor (1.19).

Selain itu, Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing (1.17), Johor (1.16), Pahang (1.14), Terengganu (1.13), Kuala Lumpur (1.12), Melaka (1.11), Negeri Sembilan dan Perak (1.10) serta Kelantan (1.08), manakala nilai Rt Labuan adalah sifar.