Kanak-kanak tidak bermaya, ditinggal 40 minit dalam kereta berkunci

Tangkap layar video kanak-kanak yang didakwa ditinggalkan dalam kenderaan berkunci pada Khamis.
Tangkap layar video kanak-kanak yang didakwa ditinggalkan dalam kenderaan berkunci pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan tidak bermaya setelah didakwa ditinggalkan penjaganya dalam kenderaan yang berkunci selama hampir 40 minit.

Menerusi video tular berdurasi sembilan saat di aplikasi X itu, kanak-kanak tersebut yang berada di kerusi belakang kenderaan dilihat dalam keadaan berpeluh-peluh dan sedang menangis.

Menurut pengguna bernama Arifjat yang memuat naik video itu, ketika ditemui, kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah dengan enjin kenderaan yang dimatikan.

Katanya, hanya tingkap bahagian depan yang dibiar sedikit terbuka dan kenderaan tersebut didakwa diparkir di kawasan panas terik.

“Hampir 40 minit saya tunggu di situ tetapi tiada kelibat penjaga yang datang.

"Jadi, saya minta tolong orang ramai untuk pecahkan cermin kereta,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X pada Khamis.

Tambah Arifjat, dia terus meninggalkan tempat kejadian setelah berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut dengan menghantar ke klinik berhampiran.

“Budak itu kini di bawah jagaan klinik berhampiran sementara menunggu penjaganya datang.

“Jadi saya tidak sempat berjumpa dengan mereka,” ujarnya.

Hantaran video berkenaan mendapat reaksi orang ramai yang meluahkan rasa marah kepada penjaga kanak-kanak tersebut kerana disifatkan tidak bertanggungjawab.

Selain itu, terdapat juga pengguna aplikasi X yang turut mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas orang awam menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

“Tahniah, tindakan yang bagus dan patut diberikan pujian. Ibu bapa perlu lebih peka selepas ini agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” kata Akmal Bey.

“15 minit pun boleh sesak. Ini kan pula 40 minit,” kata seorang pengguna lain.