Perhilitan pantau harimau belang berkeliaran

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Harimau belang yang didakwa berkeliaran di sekitar Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman masih belum memasuki perangkap walaupun ia sudah dipasang sejak tiga minggu lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pemantuan terus dilakukan di kawasan berkenaan dan berharap penduduk berhati-hati.

“Jika memerlukan penduduk melalui kawasan yang menjadi laluan atau lokasi harimau itu berkeliaran khususnya pada awal pagi atau lewat petang, pastikan mereka membawa visel atau alat mengeluarkan bunyi kuat.

“Ini boleh digunakan jika diri terancam dan ada tanda-tanda harimau mahu menyerang apabila terserempak haiwan ini. Jika tidak, terus beredar dari kawasan itu dan segera maklumkan kepada Perhilitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Ahad.

Menurut Kean Seong, siasatan awal mendapati, harimau belang tersebut dipercayai haiwan sama yang ditemui di Kampung Santong, Paka, Dungun sebelum ini dan disyaki datang dari hutan simpan berhampiran.

Beliau berkata, harimau jarang berdepan dengan manusia kerana ia akan lari apabila mendengar bunyi dan kebiasaannya haiwan tersebut menyerang sekiranya benar-benar kelaparan.

“Namun jika ada terjumpa dengan anak harimau, orang ramai jangan sesekali mendekatinya bagi mengelak diserang oleh haiwan itu kerana kebiasaanya ibu harimau ada di kawasan berhampiran dan sangat melindungi anak mereka.

“Semua maklumat ini penting untuk mendidik masyarakat cara mengelak konflik atau apa yang perlu dilakukan jika terserempak dengan harimau kerana habitat semula jadinya ada di kawasan berhampiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kawasan rekreasi di Hutan Lipur Air Terjun Menderu di Kampung Chabang, Kerteh, ditutup sementara kepada semua pengunjung sebagai langkah berjaga-jaga mengelak ancaman harimau belang yang dipercayai berkeliaran di kawasan itu.

Menurut Jabatan Perhutanan Terengganu, penutupan kawasan itu berkuat kuasa bermula Selasa sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Selain itu, penduduk di kampung itu juga diselubungi ketakutan kerana bimbang diserang harimau belang yang dikesan berlegar di kawasan sekitar kampung itu.

Keadaan itu menyebabkan mata pencarian penduduk terjejas kerana ada antara mereka tidak keluar ke kebun sejak tiga minggu lalu selepas berlaku kes serangan ke atas haiwan ternakan di kawasan itu, awal Januari lalu.