Bot karam: Lelaki terapung diselamatkan, warga emas hilang

Operasi SAR warga emas hilang di laut dilakukan pasukan bomba di perairan Pantai Manis, Papar.
Operasi SAR warga emas hilang di laut dilakukan pasukan bomba di perairan Pantai Manis, Papar.
A
A
A

PAPAR - Seorang lelaki ditemukan selamat manakala rakannya yang juga warga emas dikhuatiri lemas selepas bot yang mereka naiki karam ketika memukat ikan di perairan Pantai Manis, pada Ahad lalu.

Mangsa Primus Ujim, 52, ditemukan orang ramai dalam keadaan selamat selepas terapung di tengah laut semalaman manakala Saimon Ongit, 60, masih belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada keesokan harinya daripada Balai Polis Papar.

"Menurut maklumat, terdapat mangsa dikhuatiri hilang di laut ketika memukat di kawasan Pantai Manis.

"Terdapat seorang mangsa ditemui selamat dan menurut mangsa, semasa kejadian dia memakai jaket keselamatan sebelum diselamatkan oleh nelayan tempatan pada jam 7 pagi Isnin," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa dilakukan dan telah memasuki hari kedua.

"Operasi SAR diteruskan bersama agensi lain di sepanjang persisir pantai dan kawasan perairan menggunakan bot secara menyeluruh.

"Pada jam 12 tengah hari, boya berwarna oren milik bot yang karam telah ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pesisir pantai sebagai petunjuk tambahan operasi.

"Bagaimanapun, SAR telah ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan dan akan disambung semula esok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki ditemukan selamat manakala rakannya yang juga warga emas dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di perairan Pantai Manis
  • Mangsa yang selamat, Primus Ujim, 52, ditemukan orang ramai selepas terapung di tengah laut semalaman
  • Saimon Ongit, 60, masih belum ditemui setelah kejadian
  • Operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mangsa yang hilang telah memasuki hari kedua
  • Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan dan akan disambung semula esok

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!