Agihan kerusi: PH, BN Selangor masih belum capai kata sepakat

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor belum dapat memuktamadkan rundingan agihan kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha DAP Selangor, Ng Sze Han berkata, perundingan masih lagi diteruskan dan masih belum selesai sepenuhnya namun akan dapat dimuktamadkan dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun menurut Sze Han, parti dalam PH yang telah memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka mengekalkan kerusi parti masing-masing pada PRN Selangor tidak lama lagi.

"Itu secara prinsipnya, iaitu kerusi asal yang dimenangi mana-mana parti (PH) pada PRU14 akan dikekalkan (pada PRN Selangor)," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Dua Projek Pembinaan iaitu Projek Gelanggang Futsal dan Naik Taraf Sistem Perparitan Padang Taman Melur 15 di Taman Melur di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Sze Han yakin DAP dapat memenangi kesemua 16 kerusi yang dimenangi parti itu di Selangor semasa PRU14 dalam PRN Selangor bakal berlangsung tidak lama lagi.

Susulan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke baru-baru ini yang turut mengeluarkan arahan bahawa parti itu mesti memenangi semua 16 kerusi di Selangor, Sze Han menambah, ia boleh dicapai walaupun terdapat cabaran dari segi mendapatkan undi Melayu.