Harimau dilihat berkeliaran di ladang getah Pos Legap

Kelibat seekor harimau yang didakwa dilihat di kawasan ladang getah di Pos Legap, Sungai Siput. - Foto media sosial
Kelibat seekor harimau yang didakwa dilihat di kawasan ladang getah di Pos Legap, Sungai Siput. - Foto media sosial
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak akan memasang perangkap kamera bagi mengesan kehadiran harimau belang yang didakwa berkeliaran di ladang getah dekat Pos Legap, Sungai Siput.

Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, aduan kehadiran haiwan pemangsa itu diterima daripada penduduk pada Sabtu sebelum tular di media sosial.

Menurutnya, sepasukan anggota telah dihantar ke lokasi harimau itu dilihat bagi tujuan pemantauan dan kawalan.

"Setakat ini kita tidak menemui jejak haiwan berkenaan.

"Bagaimanapun sebagai tindakan awal, Perhilitan akan memasang perangkap kamera di kawasan yang dikenal pasti bagi mengumpul maklumat keberadaan harimau di situ," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat memberikan kepastian sama ada harimau terbabit haiwan sama dilihat di Bukit Berekeh, bulan lepas.

"Pengesahan itu kena tunggu maklumat yang diperoleh daripada perangkap kamera nanti," katanya.

Pada Ahad tular kebimbangan penduduk terutama penoreh getah apabila mendakwa terlihat kelibat seekor harimau di sekitar kawasan ladang getah di Pos Legap.

Gambar harimau berkenaan turut dikongsi di media sosial.

Mei lalu, Perhilitan mengesahkan terdapat kehadiran harimau belang di Bukit Berekeh susulan tular gambar kesan tapak kaki haiwan itu.

Harimau tersebut masih bebas dan dikatakan menjadi punca ternakan lembu penduduk hilang dimakan haiwan berkenaan.