Langkah terbaik atasi kematian akibat merokok

Pelaksanaan larangan merokok kepada generasi muda merupakan langkah terbaik dalam menangani kadar peratusan kematian di negara ini akibat tabiat tersebut.
Pelaksanaan larangan merokok kepada generasi muda merupakan langkah terbaik dalam menangani kadar peratusan kematian di negara ini akibat tabiat tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan larangan merokok kepada generasi muda merupakan langkah terbaik dalam menangani kadar peratusan kematian di negara ini akibat tabiat tersebut.

Seorang guru, Hartini Md Nadzalan, 27, berkata, ia berikutan tabiat itu berisiko tinggi untuk menghidap kanser, sekali gus mengundang kepada kes kematian.

“Saya setuju dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penelitian pelaksanaan larangan merokok. Ini kerana kesan merokok telah menyumbang kepada kadar peratusan kematian disebabkan kanser.

“Punca daripada merokok juga telah menyebabkan kos rawatan yang tinggi di hospital,” katanya.

Seorang lagi guru, Muhammad Azim Azlan, 25, berkata, memandangkan tabiat merokok dalam kalangan generasi muda khususnya remaja dilihat amat membimbangkan, maka ia wajar ditangani segera.

“Justeru, tindakan KKM untuk meneliti pelaksanaan larangan merokok kepada generasi muda ini adalah sangat baik dalam usaha mengurangkan jumlah perokok baharu sekali gus mengelakkan kadar kematian akibat kanser paru-paru,” katanya.

Gambar dari kiri: Muhammad Azim, Hartini, Mohammad Faris, Mohamad Azizol, Nur Arina Safarin
Gambar dari kiri: Muhammad Azim, Hartini, Mohammad Faris, Mohamad Azizol, Nur Arina Safarin

Turut menyokong tindakan KKM itu, seorang pemuda, Mohammad Faris Hashim, 26, berpendapat, tindakan itu dapat mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Dari aspek kesihatan mental dan fizikal pula, ia dapat melahirkan generasi yang sihat dan cergas, memandangkan golongan ini merupakan masa depan negara,” katanya.

Bagi kakitangan awam, Mohamad Azizol Aziz, 27, pula, langkah itu sangat baik kerana ia mencegah lebih awal penyakit akibat rokok.

“Tambahan pula, harga rokok di pasaran agak mahal. Lebih baik generasi muda menabung wang daripada membeli rokok yang tidak membawa faedah,” katanya.

Sementara itu, pembantu kawalan kualiti, Nur Arina Safarin Omar, 27 turut bersetuju dengan cadangan KKM tersebut kerana ia dapat mengelakkan pencemaran udara yang boleh memudaratkan kesihatan perokok dan juga individu sekeliling.

“Bahan kimia yang dibebaskan oleh asap rokok akan menjejaskan organ-organ dalam badan. Merokok menambahkan risiko penyakit berbahaya sehingga boleh mengundang maut,” katanya.