Sembilan kematian akibat kes rabies di Sarawak

Dr Muhammad Radzi
Dr Muhammad Radzi
A
A
A

SHAH ALAM- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan 11 kes rabies termasuk sembilan kematian dalam kalangan manusia di Sarawak sejak 1 Januari hingga 15 Mei tahun ini.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak 66 kes dengan 59 kematian direkodkan di negeri berkenaan sejak wabak tersebut diisytiharkan pada Julai 2017.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada 11 kes yang dilaporkan tahun ini, empat kes masing-masing dari Sibu dan Serian, Kuching (2) serta Bintulu (1) membabitkan individu dalam lingkungan enam hingga 63 tahun.

“Lapan kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit anjing, dua kes mempunyai sejarah digigit atau dicakar kucing, manakala satu kes tidak diketahui oleh ahli keluarga.

“Orang awam dinasihati supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti virus rabies dengan segera mencuci luka menggunakan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya selama 15 minit serta dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

“Sejumlah 31 fasiliti KKM di Sarawak telah dikenal pasti bagi menyediakan perkhidmatan rawatan gigitan haiwan termasuk pemberian vaksin anti-rabies,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, terdapat sembilan hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) kepada kes-kes berisiko tinggi.

Kata Dr Muhammad Radzi, pesakit perlu pastikan vaksin anti-rabies lengkap diterima mengikut janji temu yang diberikan oleh pengamal perubatan dan tidak mengendalikan sebarang haiwan liar termasuk anjing serta kucing sama ada hidup mahupun telah mati.

“KKM akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak dalam usaha mencapai status bebas rabies menjelang tahun 2030.

“Semua masyarakat diminta supaya sentiasa mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh KKM termasuk pihak berkuasa dan agensi berkaitan,” katanya.