Jabatan Perikanan pantau 10 lokasi 'karan' ikan

Kakitangan Jabatan Perikanan memantau lokasi hotspot aktiviti merenjat ikan.
Foto: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Kakitangan Jabatan Perikanan memantau lokasi hotspot aktiviti merenjat ikan. Foto: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
A
A
A

JELEBU - Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan membabitkan lebih 10 kawasan 'hotspot' kegiatan menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik di daerah ini.

Timbalan Pegawai Perikanan Darat Negeri Sembilan, Mohd Azhar Jusoh berkata, kawasan yang dikenal pasti itu antaranya Sungai Kampung Esok, Kenaboi, Sungai Kongkoi, Titi dan Sungai Glami Lemi, Titi.

Menurut beliau, maklumat diperoleh daripada kaki pancing atau ketua kampung.

"Ketika ini pula musim kering dan air sungai cetek menggalakkan kaki 'karan' menjalankan aktiviti haram mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Lokasi yang didakwa berlaku aktiviti merenjat ikan.
( Foto Jabatan Perikanan Negeri Sembilan)
Lokasi yang didakwa berlaku aktiviti merenjat ikan. ( Foto Jabatan Perikanan Negeri Sembilan)

Beliau turut memaklumkan, pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan di sepanjang Sungai Geliu-Renai, Ulu Klawang selepas pihaknya menerima aduan daripada Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Ulu Klawang bahawa terdapat dua lelaki menggunakan peralatan merenjat elektrik untuk menangkap ikan di sungai kampung tersebut.

"Suspek dipercayai menjalankan aktiviti tersebut pada 2 Februari kira-kira jam 6 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azhar turut mengingatkan sebarang aktiviti yang memudaratkan sumber perikanan seperti merenjat ikan, menuba, meracun, memanah dan penggunaan bahan letupan dilarang sama sekali di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1976.

"Sesiapa yang melakukan kesalahan ini boleh didakwa dan dijatuhi hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.