Jabatan Laut periksa feri elak kerosakan berulang

Azman
Azman
A
A
A

ALOR SETAR - Pemeriksaan lanjut terhadap semua feri penumpang akan dilakukan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi memastikan kejadian penumpang terkandas akibat pengangkutan tersebut rosak di Langkawi pada Rabu tidak berulang kembali.

Menurut Exco Pengangkutan Kedah, Azman Nasrudin, pengusaha feri juga memberi jaminan bahawa semua penumpang yang telah membeli tiket untuk pulang dari Langkawi ke destinasi masing-masing akan disediakan tempat duduk.

"JLM akan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan semua feri penumpang boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian 423 penumpang terkandas selepas feri dijadualkan berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi ke Kuala Perlis mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, semua penumbang terbabit selamat tiba di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis sekitar jam 11 malam pada Rabu.

Tambah Azman, feri penumpang dikenali My Master dijadualkan berlayar pada jam 2.30 petang Rabu namun mengalami kerosakan sebelah enjin sebelum diganti dengan Feri Starcity Express No 6.

Feri Starcity Express No 6 juga dikesan mengalami kerosakan pam bahan api pada saat akhir sebelum diganti pula dengan Feri Express Bahagia 99.

"Feri ini kemudiannya hanya boleh dibenarkan berlepas dari Langkawi ke Kuala Perlis pada jam 10.00 malam setelah mengambil kira paras air di Kuala Perlis adalah 2.2 meter pada jam 12.00 tengah malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azman berkata, JLM juga juga sedang berunding agar dapat menambah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi membantu mengawal kesesakan di kawasan terminal.

"Empat anggota Rela akan ditambah di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis manakala bilangan tambahan anggota di Terminal Feri Penumpang Kuah sedang dirunding," ujarnya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pada awalnya feri berkenaan dijadualkan berlepas pada jam 2 petang dan merupakan feri terakhir perjalanan ke Kuala Perlis.

Disebabkan mengalami kerosakan, pihak pengurusan telah mengambil keputusan untuk melewatkan perjalanan hingga jam 10 malam berikutan paras air laut yang mulai surut pada jam 3.03 petang.