Perkhidmatan operasi feri baharu boleh diperluaskan - Anthony Loke

Ahmad Fuzi (dua kanan), Kon Yeow (kanan) dan Anthony Loke (kiri) menunjukkan tanda bagus selepas mencuba perkhidmatan feri baharu, pada Khamis.
Ahmad Fuzi (dua kanan), Kon Yeow (kanan) dan Anthony Loke (kiri) menunjukkan tanda bagus selepas mencuba perkhidmatan feri baharu, pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan feri baharu yang diperkenalkan pada 7 Ogos lalu menghubungkan terminal Sultan Abdul Halim di tanah besar dan terminal Raja Tun Uda di Pulau Pinang juga boleh diperluaskan ke bahagian lain di negeri ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan feri itu boleh diperluaskan selain daripada laluan Butterworth-Georgetown.

Menurutnya, pihaknya bercadang melakukan kajian kebolehlaksanaan laluan baharu feri ke lokasi strategik lain di negeri ini termasuk secara usaha sama membabitkan pengendali pelabuhan dan jeti swasta.

"Perkhidmatan feri ini berpotensi diperluaskan ke pelbagai lokasi membabitkan lebih banyak jeti pendaratan seperti di Straits Quay dan Bayan Lepas.

"Kita tahu ramai yang bekerja umpamanya di Bayan Lepas, jadi itu yang diperhatikan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak dari segi lokasi, perlu ada kerjasama dengan pihak kerajaan negeri selain pemilik jeti serta pelabuhan swasta," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Beliau sebelum itu, menghadiri Majlis Pelancaran Perkhidmatan Feri Baharu Pulau Pinang yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi Penang Port Sdn Bhd, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Selepas dilancarkan pada 7 Ogos lalu, perkhidmatan feri baharu telah merekodkan kira-kira 50,000 penumpang berjalan kaki dan hampir 20,000 penunggang motosikal.

Artikel Berkaitan:

Anthony Loke berkata, pengoperasian empat unit feri baharu Pulau Pinang yang diberi nama Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar setakat ini adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan penumpang harian.

Justeru, beliau sekali lagi menyatakan bahawa kementeriannya tiada masalah sekiranya salah sebuah feri baharu itu dijadikan ‘feri sewaan’ jika ada permintaan daripada mana-mana pihak.

“Kalau ikut perangkaan kita, empat feri (baharu) itu sangat mencukupi, malah ada lebihan dan salah sebuah feri itu boleh digunakan sebagai produk pelancongan.

“Terpulang kepada pihak operator iaitu Penang Port Sdn Bhd (PPSB), mereka ada perancangan untuk menyediakan perkhidmatan feri sewaan.

“Jadi, mana-mana pihak swasta atau syarikat korporat atau individu yang mahu menyewa (feri baharu) untuk majlis keraian atau majlis tertutup ataupun acara permukiman pekerja mereka ataupun untuk ejen pelancongan yang mahu membawa kumpulan pelancongan belayar di Pulau Pinang, feri (baharu) boleh ditempah,” jelasnya.

Tambah beliau, kementeriannya masih belum memuktamadkan kadar tambang bagi Feri Baharu Pulau Pinang.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya turut mengalu-alukan mana-mana firma swasta untuk menghidupkan semula pengoperasian feri lama di negeri Pulau Pinang.