'Boleh tuntut pampasan kerosakan kereta akibat jalan rosak'

Shahelmey (kanan) ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Minggu Integriti Kementerian Kerja Raya di Kota Kinabalu.
Shahelmey (kanan) ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Minggu Integriti Kementerian Kerja Raya di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengguna jalan raya boleh menuntut pampasan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berkaitan kerosakan kenderaan disebabkan keadaan jalan raya yang kurang baik di negeri ini.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, tuntutan itu boleh dibuat menerusi proses di mahkamah.

"Ini 'case to case basis', boleh.

"Kena buat laporan dengan bukti-bukti yang mencukupi dan melalui proses di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Integriti Kementerian Kerja Raya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah pengguna jalan raya di negeri ini boleh membuat tuntutan pampasan daripada JKR jika berlaku kerosakan kenderaan disebabkan keadaan jalan raya yang rosak.

Sebelum ini, beberapa kejadian ditularkan di media sosial mengenai rungutan pengguna jalan raya berkaitan kenderaan rosak disebabkan jalan raya berlubang serta rosak di laluan tertentu di negeri ini.

Sementara itu, diminta mengulas perkembangan peruntukan sebanyak RM320 juta untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, jawatankuasa teknikal sudah mengadakan mesyuarat bagi memperhalusi tatacara wang itu disalurkan.

"Duit belum disalurkan, ada jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat dua kali untuk memperhalusi tatacara penyaluran dan sebagainya.

"Bagaimanapun, di peringkat negeri kita terus jalankan usaha untuk menstabilkan bekalan air dan saya berpendapat ia sudah mulai dirasai oleh sebahagian penduduk sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Putatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkembanggan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2, beliau memaklumkan ia sedang dalam proses dan mengenai pemasangan paip juga sudah hampir diputuskan.

"Kita berharap kerja-kerja fizikal akan boleh dilaksanakan dalam tahun ini," katanya.