25,000 kenderaan dijangka masuk Port Dickson menjelang cuti perayaan

Orang ramai beriadah di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson pada Ahad.
Orang ramai beriadah di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menjangkakan lebih 25,000 kenderaan masuk ke daerah ini menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina minggu hadapan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, peningkatan itu selaras dengan kebenaran daripada kerajaan yang membenarkan rakyat bergerak sepanjang tempoh perayaan itu.

"Berdasarkan rekod kami, kebiasaannya kenderaan yang melalui tol di Lebuhraya Seremban-Port Dickson pada hari Jumaat dan Sabtu adalah antara 19,500 hingga 21,000 kenderaan dalam tempoh 24 jam.

"Jumlah tersebut bagaimanapun tidak termasuk kenderaan dari laluan Linggi, Sendayandan Sepang, namun pertambahan kenderaan ini tidak menyebabkan aliran trafik sesak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Aidi Sham turut menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke daerah ini supaya peka dengan keadaan cuaca terutamanya ketika beriadah di sekitar pantai.

"Rondaan pencegahan ditingkatkan menerusi Ops Selamat untuk kawalan lalu lintas manakala pasukan SOP (prosedur operasi standard) turut membuat pantauan di kawasan tumpuan antaranya Pantai Batu 4, Pantai Batu 1 dan Dataran Teluk Kemang.

"Sebanyak 21 pasukan pemantauan SOP akan ditugaskan di kawasan pantai bersama penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Patuhilah SOP yang ditetapkan selain tidak meletakkan kenderaan di bahu-bahu jalan yang boleh menyebabkan halangan lalu-lintas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, melalui tinjauan Sinar Harian di sekitar pantai Teluk Kemang, kelihatan ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk beriadah.

Syarifah Hasanah
Syarifah Hasanah

Seorang pengunjung dari Serdang, Selangor, Sharifah Hasanah Syed Kamarudin, 41, memberitahu tiba di daerah ini pada jam 1 petang Ahad bersama suami dan tiga anaknya.

"Sudah lebih dua tahun kami tidak datang ke sini, keadaan di sekitar Teluk Kemang agak sesak memandangkan ramai yang bercuti hujung minggu tambahan menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

"Seronoklah dapat beriadah walaupun sekadar jalan-jalan lagipun keadaan cuaca hujan," katanya ketika ditemui.

Seorang lagi pengunjung, Nor Adilla Azhar, 21, dari Terengganu berkata, dia datang ke daerah ini bercuti bersama dua lagi rakannya.

"Kami tiba di sini sejak Jumaat dan bermalam di hotel berhampiran. Seronoklah dapat bercuti di pantai walaupun hari ini keadaan cuaca hujan renjai-renjai selain agak sesak di beberapa kedai makan," katanya.