100 unit rumah PPR Ladang Tanah Merah dibina di Port Dickson

Kok Seong pada Persidangan Penggal Kelima DUN ke-14 di sini pada Isnin.
Kok Seong pada Persidangan Penggal Kelima DUN ke-14 di sini pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 100 unit rumah teres setingkat di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ladang Tanah Merah (Desa Tanjung) dibangunkan di atas tanah berkeluasan 8.937 hektar di Port Dickson.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung negeri, Teo Kok Seong (DAP-Bahau) berkata, Sijil Perakuan Siap Kerja (CCC) bagi projek berkenaan adalah pada 29 Disember 2022 dan PPR itu diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN) pada 5 Januari 2023.

"Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan telah menerima 221 permohonan daripada pekerja - pekerja ladang di sekitar PPR Ladang Tanah Merah yang berminat untuk menduduki PPR itu.

"Bahagian berkenaan perlu menjalankan proses saringan berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JPN sebelum mengemukakan senarai permohonan yang layak kepada jabatan," katanya pada Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Yek Diew Ching (DAP-Chuah) berkenaan status pembinaan rumah mampu milik di Ladang Tanah Merah, Port Dickson untuk pekerja ladang.

Jelas Kok Seong, pengisian PPR terbabit dijangka akan diselesaikan sebelum Jun 2023 dan ia merupakan program PPR yang akan diuruskan di bawah skim PPR Sewa - Untuk - Milik atau Rent To - Own ( RTO ).

Tambahnya, harga jualan bagi unit-unit PPR tersebut adalah RM40,000 dengan kadar faedah tiga peratus setahun dikenakan kepada peserta PPR untuk tempoh RTO berkenaan.

"Tempoh tawaran RTO maksimum bagi PPR ini adalah 20 tahun di mana dibenarkan untuk membeli unit - unit berkenaan pada tahun ke - 6, ke - 11 dan ke - 16.

"Syarat permohonan bagi PPR ini adalah pemohon dan pasangan merupakan warga negara Malaysia, berumur 18 tahun dan ke atas, pendapatan isi rumah di bawah RM5,000, pemohon dan pasangan tidak pernah memiliki rumah serta tidak diisytihar muflis," katanya.