Satu juta kenderaan dijangka guna laluan LPT

Mohammad Fakhruddin (kanan) ketika menyantuni pengguna di R&R Temerloh sempena jelajah mesra Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 pada Rabu.
Mohammad Fakhruddin (kanan) ketika menyantuni pengguna di R&R Temerloh sempena jelajah mesra Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 pada Rabu.
A
A
A

TEMERLOH - Satu juta kenderaan dijangka menggunakan laluan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui Pahang sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memberitahu, ia kerana Pahang adalah pintu masuk ke negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

"Kita menjangkakan jumlah tahun ini lebih tinggi iaitu lebih kurang satu juta kenderaan contohnya di Temerloh melalui LPT dari Selangor, Melaka dan pelbagai tempat dari sana," kata beliau.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar sempena program jelajah mesra Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri 2023 Peringkat Negeri Pahang di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh hala Timur di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Kamarul Iskandar Nordin.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin memberitahu, seramai 56 pegawai dan 273 anggota penguatkuasa JPJ Pahang digerakkan di seluruh Pahang dalam Ops Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

"Antara penguatkuasaan lain yang dilaksanakan oleh pihak JPJ Pahang adalah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, pemantauan dan penguatkuasaan di 34 lokasi blackspot, pelaksanaan Perception of Being Caught (POBC) dan Ops Khas Motosikal," tambah beliau.

Beliau juga memberitahu, JPJ Pahang telah mengadakan Pra Ops Hari Raya bermula 14 hingga 17 April ini yang melibatkan pemeriksaan bas di dua buah depoh dan tiga terminal bas utama di seluruh negeri.

"Ia bagi tujuan memastikan bas sentiasa berada dalam keadaan road worthiness (layak di atas jalan raya) dan sepanjang tempoh tersebut, 16 bas telah diperiksa," ujar Mohammad Fakhruddin.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan pengguna agar berhati-hati semasa pemanduan, meneliti lalu lintas sebelum memulakan perjalanan serta mematuhi segala arahan dan peraturan jalan raya.