Hotel kucing jadi rebutan menjelang cuti Aidilfitri

Saiful Islam menunjukkan sangkar standard yang disediakan di hotel kucingnya yang kini habis ditempah pemilik haiwan itu menjelang Aidilfitri.
Saiful Islam menunjukkan sangkar standard yang disediakan di hotel kucingnya yang kini habis ditempah pemilik haiwan itu menjelang Aidilfitri.
A
A
A

KUANTAN - Selepas tiga hari tempahan dibuka, khidmat hotel kucing yang ditawarkan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri penuh sehingga ada pemilik merayu-rayu agar kucing mereka diterima untuk 'menginap' walaupun tanpa sangkar.

Bagaimanapun permintaan dan rayuan itu terpaksa ditolak secara baik memandangkan khidmat yang ditawarkan bukan sekadar menjaga makan minum kucing sebaliknya haiwan itu perlu penjagaan rapi sepanjang ditinggalkan.

Itu situasi dilalui pemilik Tommy Cat Hotel dan Spa, Saiful Islam Abdul Hamid, 35, ketika berhadapan pemilik kucing yang terdesak mencari tempat untuk meninggalkan kucing mereka sebelum bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

Saiful Islam berkata, walaupun terdapat beberapa pengusaha hotel kucing lain di daerah ini, ruangan yang disediakan mereka juga difahamkan habis ditempah dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Menurutnya, ada yang membuka tempahan lebih awal dan penuh sebelum Ramadan lagi.

Saiful Islam menunjukkan antara permainan yang disediakan di Tommy Cat Hotel dan Spa.
Saiful Islam menunjukkan antara permainan yang disediakan di Tommy Cat Hotel dan Spa.

"Bagi pemilik kucing yang biasa mendapatkan perkhidmatan ini mereka lebih peka dengan membuat tempahan lebih awal.

"Bila kucing-kucing ada tempat untuk ditinggalkan, mereka juga dapat bercuti dan berhari raya dengan lebih tenang.

"Berbeza bagi yang terpaksa membawa bersama kucing atau meninggalkan haiwan peliharaan itu di rumah tanpa penjagaan sepanjang ditinggalkan," katanya.

Dia berkata, permintaan terhadap hotel kucing amat tinggi bukan sahaja pada musim perayaan tetapi situasi sama turut berlaku pada musim cuti sekolah dan cuti umum yang panjang.

"Sama seperti hotel penginapan, hotel kucing juga antara kemudahan yang dicari-cari bagi pemilik haiwan itu yang berhasrat untuk bercuti atau terpaksa meninggalkan rumah kerana tugasan luar daerah dan sebagainya.

"Melihat kepada potensi hotel kucing ini, saya dan isteri, Aliah Nadhirah Azahar, 29, mengambil keputusan menjalankan perniagaan ini sejak Februari lalu selain turut menyediakan khidmat dandanan kucing dan menjual barang keperluan haiwan tersebut," katanya.

Dia yang juga seorang pencinta kucing bermula dengan menyediakan 30 sangkar standard dan dua sangkar VIP dengar kadar bayaran RM18 hingga RM35 semalam.

"Menguruskan hotel kucing bukan perkara mudah kerana haiwan itu agak sensitif dan mudah stres jika tidak dijaga dengan baik.

"Di sini, kami amat menitikberatkan kebajikan haiwan ini dengan menjaga makan minum, mengurus berak kencing dan mengatur jadual masa main kucing.

"Ruangannya juga perlu selesa dan bersih sepanjang masa selain pengudaraan dan pencahayaan yang baik," jelasnya.

Saiful Islam melayan salah seorang pelanggan yang mendapatkan khidmat hotel kucing yang diusahakannya.
Saiful Islam melayan salah seorang pelanggan yang mendapatkan khidmat hotel kucing yang diusahakannya.

Menurutnya, setiap sangkar hanya dicadangkan untuk seekor kucing untuk keselesaan haiwan itu walaupun ruangannya agak luas dan mampu menempatkan dua atau tiga ekor kucing.

"Ruangannya berhawa dingin dan dilengkapi kipas, penapis udara dan kamera litar tertutup bagi tujuan pengawasan.

"Berbeza dengan hotel kucing lain, di Tommy Cat Hotel dan Spa ini pemilik boleh masuk dan tengok sendiri ke dalam ruangan hotel," ujarnya.

Jelasnya, ruangan hotel sengaja dipilih di tingkat tiga bagi mengelak gangguan bunyi bising selain bagi mendapatkan pencahayaan yang lebih baik.

"Selain itu makanan yang disediakan untuk kucing daripada produk berkualiti dan selamat selain menggunakan pasir jenis tofu yang lebih berkesan menyerap bau najis kucing.

"Pada masa sama, kami turut menyediakan khidmat mandian dan dandanan atas permintaan pemilik.

"Istimewanya di sini, tuala yang digunakan tidak berkongsi sebaliknya setiap kucing akan disediakan satu tuala," katanya.

Saiful Islam berkata, setiap kucing yang ditempatkan di situ perlu sihat dan lengkap vaksin.

Menurutnya, walaupun permintaan terhadap kemudahan itu bermusim, hotel kucing menjadi satu keperluan bagi pemilik kucing ketika ini.

Justeru, dia dan isteri bercadang untuk mengembangkan perniagaan itu pada masa akan datang dengan menyediakan lebih banyak sangkar bagi menampung permintaan.