Pesawah harap insentif khas dalam Bajet Kedah 2027

SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah diminta mempertimbangkan insentif khas kepada pesawah menerusi pembentangan Bajet Kedah 2027 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Pesawah, Mohd Farhan Mohamed, 40, dari Kota Kuala Muda berkata, bantuan berkenaan boleh disalurkan dalam bentuk kewangan, peralatan pertanian atau apa sahaja manfaat bersesuaian bagi membantu meningkatkan sokongan dan dorongan kepada golongan itu meneruskan aktiviti penanaman padi.
Menurutnya, beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu turut menyediakan imbuhan tertentu kepada golongan petani.
"Macam petani di Pulau Pinang dapat imbuhan, begitu juga Selangor dan Terengganu pun dapat.
"Minta kerajaan negeri Kedah bagi sumbanganlah sikit untuk para petani ni. Kalau tak boleh bagi 'sebatang cangkul', beli batang pun tak apa dah," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, bantuan sedemikian amat diperlukan bagi mengurangkan tekanan dihadapi pesawah terutama apabila berdepan peningkatan kos operasi sehingga menyebabkan pendapatan tidak menentu.
Katanya, cabaran termasuk kenaikan kos pertanian dan masalah lain juga memberi kesan kepada kemampuan petani meneruskan usaha berkenaan.
Sebelum ini, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob turut menyuarakan keperluan sama supaya kebajikan pesawah diberi perhatian kerajaan negeri setelah berhadapan cabaran berterusan dalam sektor penanaman padi.
Menurutnya, kerajaan negeri wajar mempertimbangkan insentif khas memandangkan Kedah menyumbang lebih 40 peratus bekalan beras negara.
Abdul Rashid turut berpendapat Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor wajar mempertimbangkannya dalam usaha sebagai galakkan kepada pesawah tanpa bergantung kepada insentif Kerajaan Persekutuan semata-mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

