PRN Melaka: Petugas Pemuda Pas Paya Rumput meninggal dunia

TANGGA BATU - Calon Perikatan Nasional (PN) Paya Rumput, Rafie Ahmad tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan seorang jentera Pas yang banyak membantu gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Allahyarham Muhammad Firdaus Selamat, 33, merupakan petugas Pemuda Pas Paya Rumput dilaporkan meninggal dunia pada Rabu.
Rafie berkata, pertemuan terakhirnya dengan Allahyarham adalah pada malam sebelumnya ketika menghadiri program bola jaring persahabatan anjuran Ameerah dan Puteri UMNO.
Menurutnya, ketika pertemuan itu, Allahyarham sempat bergambar bersamanya sebelum meminta supaya gambar berkenaan disimpan sebagai kenangan.
“Kali terakhir saya jumpa dia malam tadi (Selasa), masa pelancaran ataupun perasmian program bola jaring persahabatan.
“Dia ambil gambar dengan saya, dia kata, ‘simpan gambar ini buat kenangan’ tetapi saya tidak terfikir apa-apa ketika itu sebelum dimaklumkan berita sedih berkenaan,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Rabu.
Rafie berkata, Allahyarham yang dipanggil Daus disifatkan seorang yang sangat aktif dan komited dalam membantu gerak kerja kempen PN di DUN Paya Rumput.
Katanya, arwah banyak mengatur program, bertemu masyarakat serta menjalankan pelbagai aktiviti bagi mendekati pengundi sepanjang tempoh kempen.
“Saya kata, ‘Daus ini rajin, komited’. Saya kata lagi kepadanya, sekiranya saya ditakdirkan menang di Paya Rumput, memang saya nak ambil dia sebagai salah seorang anggota yang bersama dengan pasukan saya nanti.
“Sebab itu saya menyuarakan hasrat kepadanya dan bertanya, sepanjang sebulan saya bertanding ini, boleh tak kerja sepenuh masa?
“Dia kata tidak ada masalah dan akan sokong. Dia kata dia akan kerja dari pagi sampai malam,” katanya.
Menurut Rafie, beliau terkejut dan sangat sedih selepas menerima berita pemergian Allahyarham.
“Saya tersentak sekejap. Saya ini jenis penyedih,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham pulang dari Bilik Operasi DUN Paya Rumput sekitar jam 2 pagi Rabu selepas menyelesaikan urusan permit bagi semua ceramah dan aktiviti berkaitan sehingga hari pengundian.

Setibanya di rumah, arwah dikatakan sempat menyediakan makanan untuk anak istimewanya sebelum berehat.
Bagaimanapun, Allahyarham dilaporkan mengalami sakit dada sebelum paramedik yang tiba di rumah mengesahkan beliau telah meninggal dunia.
Allahyarham meninggalkan seorang balu yang sedang mengandung anak kedua serta seorang anak yang menghidap autisme.
Sinar Harian pada Rabu turut melaporkan seorang wakil calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Asahan, Samivel, turut dilaporkan meninggal dunia pada Rabu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori ketika dalam perjalanan.
Pemergian kedua-dua individu terbabit pada hari sama mengundang rasa dukacita dalam kalangan jentera parti yang sedang bertungkus-lumus menjayakan kempen PRN Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

