8,234 kes penyeludupan libatkan RM610 juta dibanteras pada 2021

Hazani
Hazani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 7,158 suspek membabitkan 8,234 kes penyeludupan migran dan khazanah negara serta kesalahan berkaitan penyeludupan sepanjang tahun 2021.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, nilai keseluruhan barang kes yang dirampas dianggarkan mencecah RM610 juta.

Menurutnya, Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CSPK) mencatatkan sebanyak 109 tangkapan membabitkan 42 kes dengan nilai rampasan sepanjang tahun 2021 sebanyak RM93.5 juta.

"Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Tengah,Tenggara, Sabah dan Sarawak mencatatkan sebanyak 3,882 tangkapan membabitkan 2,096 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM223.9 juta.

"Pasukan Polis Marin (PPM) di semua wilayah mencatatkan sebanyak 3,168 tangkapan membabitkan 6,096 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM292.7 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua kes tersebut membabitkan aktiviti penyeludupan dadah dan racun, kesalahan bawah Akta Imigresen, Op Khazanah, serta Op Kontraban.

Tambahannya, aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), dan barang terlarang adalah berbeza mengikut zon persempadanan seperti di Utara yang sering diseludup adalah daun ketum, minuman keras, ubat batuk, dadah dan PATI.

"Di Timur Semenanjung, barangan seperti beras, minyak masak, petrol, diesel, binatang ternakan dan barangan tiruan kerap diseludup," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hazani berkata, kesiapsiagaan JKDNKA menerusi PPM, PGA, Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta lain-lain unit terbukti di tahap tertinggi ketika menghadapi bencana banjir yang melanda negara akhir tahun lalu.

"Markas taktikal Op Banjir telah diwujudkan serta-merta oleh JKDNKA bagi menyelaras sebarang bantuan sumber manusia dan aset logistik PDRM khususnya dalam membantu mangsa banjir.

"JKDNKA sentiasa bersiap sedia dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara dilindungi dan terus dipelihara," ujarnya.