Broker direman berkait dokumen palsu kontrak kapal tempur

Seorang lelaki berusia 62 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu untuk permohonan reman.
Seorang lelaki berusia 62 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu untuk permohonan reman.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang broker kontrak perolehan enam Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu dianggarkan bernilai RM24 juta.

Menurut sumber, permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 30 Januari depan itu dibenarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.

"Lelaki berusia 62 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

"Keseluruhan tiga individu kini dalam tahanan suruhanjaya berkenaan selepas penahanan dua ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat yang disyaki turut terbabit dalam kontrak perolehan enam LCS tersebut, kelmarin," katanya.

Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada Selasa media melaporkan SPRM memperoleh petunjuk baharu dalam siasatan kontrak perolehan LCS dan menahan dua CEO sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak itu.

Individu berusia berusia 79 dan 49 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi pada Selasa mengesahkan penahanan dua individu itu.

"Ya, memang benar, ramai akan dipanggil untuk membantu siasatan," katanya.