X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

SPRM temui petunjuk baharu kes kontrak kapal tempur, 2 CEO ditahan

A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemui petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang dilaksanakan oleh Bousted Naval Shipyard.

Menurut sumber, berdasarkan petunjuk baharu tersebut, SPRM telah menahan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang terlibat dalam projek tersebut.

"Kedua-dua individu itu berusia 79 dan 49 tahun ditahan pada petang Isnin di Ibu Pejabat SPRM ketika memberikan keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

"Seorang lagi, disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut," katanya.

Katanya, siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan yang dibuat kepada SPRM adalah bagi membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.

Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu itu.

"Ya, memang benar, ramai akan dipanggil untuk membantu siasatan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!