X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Rumah kos rendah dijadikan asrama pekerja warga asing

Penduduk melakukan bantahan secara aman kerana tidak berpuas hati pangsapuri diduduki turut disewa oleh warga asing.
A
A

BUTTERWORTH - Pembeli rumah di Blok A, Taman Nagasari, Prai di sini menzahirkan rasa kecewa apabila terpaksa menghuni kawasan perumahan itu bersama sekumpulan warga asing yang dipercayai menyewa di flat berkenaan.

Wakil penduduk, Amirul Adli Ahmad, 28, berkata, mengikut perjanjian awal, pangsapuri 11 tingkat berharga RM42,000 setiap satu unit itu dibina oleh kerajaan negeri dan tidak boleh disewa sewenang-wenangnya sama ada kepada warga tempatan atau warga asing.

Bagaimanapun, menurutnya jumlah warga asing yang menyewa dikatakan lebih ramai iaitu melibatkan kira-kira 20 unit dan ada yang tinggal lebih awal di situ berbanding penghuni yang sepatutnya.

"Lebih mengecewakan ada juga unit pangsapuri di situ disalahguna, dijadikan asrama pekerja yang dilengkapi dengan kod pengimbas dan QR Code My Sejahtera secara terbuka di bahagian pintu masuk.

"Kami hairan bagaimana rumah ini boleh disewa kepada mereka dengan sesuka hati oleh pemilik,"katanya ketika melakukan bantahan aman di sini pada Jumaat.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung selepas menerima aduan daripada penduduk supaya perkara itu diambil tindakan segera.

Difahamkan, kira-kira 10 daripada 150 unit pangsapuri kos rendah di blok itu dihuni oleh warga tempatan, manakala sebahagian besar penghuni yang lain belum berbuat demikian.

Amirul Adli berkata, dia juga dimaklumkan ada warga asing yang menyewa untuk dijadikan kedai runcit apabila terdapat peralatan berniaga mula dibawa masuk unit di bahagian bawah pangsapuri itu.

"Kegiatan komersial sama sekali tidak dibenarkan di blok ini dan kami hairan bagaimana terlalu mudah sekali mereka (warga asing) berbuat demikian," katanya.

Mengulas lanjut Amirul Adli berkata, dia dan rata-rata penduduk di situ mahu isu tersebut diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan lebih ramai warga asing tinggal di situ hingga keadaan menjadi tidak terkawal seperti di beberapa kawasan pangsapuri lain di negeri ini.

"Penduduk di sini sepakat untuk membuat kad akses bagi mengawal mereka yang keluar masuk ke blok pangsapuri selepas ini jika tiada lagi warga asing dibenarkan tinggal di sini," katanya.

Sementara itu, Hsiao Leung berkata, isu salah guna unit kediaman untuk disewa kepada warga asing tidak seharusnya berlaku kerana pangsapuri itu menetapkan syarat bahawa ia hanya dikhususkan kepada penduduk tempatan berpendapatan rendah serta belum memiliki rumah sendiri.

"Saya telah menulis surat kepada Exco Perumahan (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.

"Kita berharap isu ini mendapat perhatian kerajaan negeri dan pihak berkaitan perlu menyiasat perkara ini untuk mengambil tindakan dengan sewajarnya," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!