162 pekerja warga asing ditahan di tapak binaan - DBKL

DBKL dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan menahan seramai 162 pekerja warga asing dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan di Jalan Bukit Kiara, di sini. - Gambar DBKL
DBKL dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan menahan seramai 162 pekerja warga asing dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan di Jalan Bukit Kiara, di sini. - Gambar DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 162 pekerja asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan di Jalan Kiara, di sini pada Khamis.

Operasi dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Turut terlibat, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

"Pemeriksaan dan tahanan melibatkan 118 warga Bangladesh, 23 warga Myanmar, 11 warga Indonesia dan 10 orang warga Pakistan.

"Namun, seramai 126 pekerja pembinaan ditahan bagi pemeriksaan menyeluruh berkaitan dokumentasi perjalanan dan permit kerja berkaitan," kata DBKL menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat.

DBKL memaklumkan, penguat kuasa berkenaan melaksanakan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang masing-masing.

Dalam pada itu, DBKL turut mengeluarkan satu notis kompaun di dalam kawasan pembinaan tersebut selepas didapati terdapat tempat pembiakan nyamuk melalui pungutan jentik-jentik.

"Sementara itu, satu notis berkaitan Industri Pembinaan dikeluarkan CIDB, dua notis kompaun oleh SWcorp melibatkan bahan atau sisa binaan dan lima surat arahan DOSH melalui Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 melibatkan pelbagai kesalahan-kesalahan am yang dikuatkuasakan agensi berkenaan," katanya.