X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bermula Februari ini

Khairy Jamaludin ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun bermula Februari ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program tersebut adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

"Masalah kesihatan tersebut merangkumi penyakit respiratori kronik, kardiovaskular, immunosuppression, kencing manis, penyakit ginjal kronik dan penyakit saraf.

“Formulasi vaksin Covid-19 Comirnaty akan digunakan dalam program ini dan formulasi khas untuk kanak-kanak dibekalkan di dalam bebuli 10 dos dan perlu dicampur dengan 1.3 mililiter larutan garam biasa.

"Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mililiter dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Dos ini merupakan satu pertiga daripada dos yang digunakan di dalam dos dewasa,” katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, program vaksinasi kanak-kanak memerlukan dua suntikan dos dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama.

Katanya, berdasarkan data terkini yang diperolehi, sela masa yang diberikan antara dua dos itu akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan lebih tinggi serta berpotensi memberikan perlindungan yang lebih lama.

"Selain itu, data ini juga menunjukkan sela masa tersebut mampu mengurangkan risiko miokarditis dan telah disyorkan oleh badan-badan kesihatan seluruh dunia termasuk United Kingdom, Kanada dan Australia.

"Berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak, KKM akan melaksanakan pemberian vaksin ini sebaik vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari ini,” katanya.

Khairy memaklumkan, program pemberian vaksinasi kanak-kanak itu akan bermula pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

Katanya, sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari ini dan ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak mereka sebagai tanggungan dalam aplikasi berkenaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!