Mekanik terkejut dituntut bayar tunggakan McLaren RM31,000

TANGERANG – Seorang mekanik bengkel dari Banten, Indonesia terkejut apabila menerima notis tunggakan cukai bagi kenderaan 'super car' McLaren 570S AT berjumlah Rp137.4 juta (kira-kira RM31,000).
Memetik laporan Tribunnews, Yudariansyah mendakwa identiti peribadi atau Nombor Induk Kependudukan (NIK) miliknya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelak kewajipan membayar cukai kereta mewah.
Pemuda tersebut bagaimanapun merancang untuk memohon pembetulan rekod daripada pihak berkuasa supaya perkara itu tidak menjejaskan rekod kewangannya, termasuk penilaian kelayakan menerima bantuan kerajaan berdasarkan kategori.
“Saya mahu membersihkan semula nama saya. Saya tidak mahu rekod saya tercemar.
"Ini melibatkan data peribadi yang digunakan dalam kehidupan seharian,” katanya pada Sabtu.
Yudariansyah sebelum itu dikunjungi pihak berkuasa daerah Ciledug di rumahnya pada Jumaat bagi mendapatkan penjelasan berhubung pemilikan McLaren 570S AT itu.
Ketika disoal siasat, dia mengakui tidak pernah memiliki atau membeli kenderaan mewah bernilai berbilion rupiah itu.
Malah, kata pemuda berkenaan, keadaan ekonomi keluarganya sekadar 'cukup-cukup makan'.
Berdasarkan rekod pemilikan kenderaan berkenaan, alamat rumah Yudariansyah didaftarkan sebagai alamat pemilik.
Kereta mewah keluaran 2019 itu juga direkodkan mempunyai tunggakan cukai selama setahun.
“Saya terkejut menerima WhatsApp daripada jiran yang memaklumkan ada pegawai mahu menuntut cukai kerana kononnya saya memiliki kereta sport.
"Daripada mana pula datangnya kereta sport ini, saya jadi keliru," ujarnya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Samsat Ciledug, Idam Kholid mengesyaki wujud kegiatan manipulasi data yang mungkin membabitkan syarikat pembiayaan kenderaan (leasing) bersama pihak 'show room' ketika kereta mewah itu dibeli oleh pemilik asal yang enggan mendedahkan identitinya.
“Kami sudah bertanya sama ada benar dia memiliki kereta sport atau tidak. Dia menjawab tidak pernah memilikinya.
"Katanya ‘saya ini cuma buruh. Jauh sekali untuk membeli kereta mewah, nak makan pun saya perlu mencari duit setiap hari'.
“Jika perkara itu benar, bermakna memang ada kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pihak pembiayaan ketika kereta itu dibeli menggunakan kad pengenalan orang lain,” katanya lagi.
Ketika mengunjungi kediaman Yudariansyah, pasukan pegawai terpaksa melalui lorong sempit di kawasan perkampungan yang sukar dilalui kenderaan pacuan empat roda.
Keadaan rumah Yudariansyah juga dilihat sangat berbeza daripada gambaran kehidupan pemilik kereta mewah sepertimana tercatat dalam rekod.
Idam memaklumkan, Yudariansyah juga mendakwa tidak pernah meminjam atau menyerahkan dokumen pengenalan dirinya kepada sesiapapun untuk tujuan pembelian kenderaan.
“Berdasarkan keadaan yang kami lihat, kami percaya Yudariansyah telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kami akan terus mengesan pemilik sebenar kenderaan mewah berkenaan bagi memastikan kewajipan membayar cukai kepada kerajaan daerah ditunaikan.
"Pegawai kami akan terus mengesan siapakah pemiliknya sama ada didaftarkan atas nama individu atau syarikat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
