Kerajaan usaha beri vaksin kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

Dr Noor Azmi
Dr Noor Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan berusaha untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, langkah itu dibuat mengambil kira untuk melindungi golongan tersebut yang terdedah dengan jangkitan wabak berkenaan.

Ini kerana katanya, selaku kumpulan yang belum diberi suntikan vaksin, kanak-kanak dalam kelompok usia tersebut terdedah dengan jangkitan susulan pembukaan secara meluas sektor ekonomi dan sosial ketika ini.

"Hari ini, bila kita benarkan pergerakan (rentas negeri), kita bawa anak kita (yang belum divaksin) ke Langkawi, kita bawa ke kenduri kahwin, yang mana mereka tidak dilindungi.

"Jadi, berdasarkan sains, kajian yang dibuat, kerajaan hari ini akan berusaha adakan (beri) vaksin untuk kanak-kanak lima hingga 11 tahun," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH- Kuala Selangor) yang mahu tahu pendirian kerajaan terhadap pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, kerajaan sememangnya komited untuk melindungi seluruh rakyat termasuklah kanak-kanak daripada dijangkiti wabak yang boleh membawa maut itu.

"Kenapa kita merujuk kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun kerana kita hendak melindungi anak-anak kita seperti mana yang telah kita jalankan kepada remaja 12 hingga 17 tahun yang kini telah capai 85.9 peratus kadar vaksinasi penuh.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin dengan usaha kita ini dapat beri perlindungan keselamatan yang lebih kepada mereka untuk pergi dan balik ke sekolah," katanya.