Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di belakang rumah

GEORGE TOWN – Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di sini pada Ahad.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.10 pagi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian itu melibatkan tiga mangsa keseluruhan dengan seorang daripadanya dilaporkan terperangkap di bawah runtuhan tanah.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.36 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong tiba di lokasi dua minit kemudian.
"Operasi berkenaan diketuai seorang komander dengan kekuatan tujuh anggota serta bantuan sebuah jentera LFRT dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Berdasarkan maklumat awal, kejadian tanah runtuh itu menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah kelas A," ujarnya.

Tambah beliau, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima maklumat awal bahawa seorang penghuni berjaya keluar manakala seorang lagi dipercayai terperangkap.
"Polis turut berada di lokasi bagi membantu operasi berkenaan.
"Operasi menyelamat masih diteruskan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

