Nelayan bantah projek tambak laut di Langkawi

Seorang nelayan menunjukkan kawasan yang akan ditambak di Langkawi. - FOTO CAP
Seorang nelayan menunjukkan kawasan yang akan ditambak di Langkawi. - FOTO CAP
A
A
A

ALOR SETAR - Nelayan yang mencari rezeki di sepanjang pantai Kelibang hingga ke Sungai Menghulu dekat Kuah, Pulau Langkawi berada dalam kebimbangan selepas projek penambakan laut bakal dilakukan di kawasan tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati nelayan di kawasan berkenaan membantah keputusan itu kerana ia boleh mengancam alam sekitar dan menjejaskan mata pencarian mereka.

Tegasnya, CAP turut membantah keputusan itu dan menggesa kerajaan Kedah, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan-jabatan berkenaan dan agensi berkaitan mengkaji secara terperinci mengenai perkara tersebut.

"CAP percaya jika projek tersebut dilaksana bukan saja alam semula jadi akan musnah, malah hidupan laut dan kehidupan masyarakat nelayan akan turut menjadi mangsa.

"Nelayan-nelayan di kawasan itu kini memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan hasil tangkapan ikan dan udang manakala pemungut siput pula memperoleh pendapatan antara RM40 hingga RM70 sehari," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohideen berkata, CAP berpendapat sebelum keputusan itu dibuat Kerajaan Kedah, sepatutnya pihak berkaitan mendedahkan rancangan awal, hasil kajian dan perkembangan semasa mengenai projek itu kepada umum terutama penduduk tempatan yang berhak menyuarakan pandangan mereka.

Sementara itu, seorang nelayan, Zulkifli Shamsudin, 50, terkejut dengan notis pengambilan tanah oleh Pejabat Tanah Langkawi (PTL) dan hairan perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan mereka.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli Che Hasin
Zulkifli Che Hasin

Menurutnya, dia kesal kerana keputusan itu dibuat tanpa mengambil kira kesan buruk yang akan berlaku terhadap penduduk tempatan pada masa akan datang.

“Kami bukan saja akan kehilangan sumber pendapatan, mungkin juga terpaksa berpindah ke tempat lain," katanya.

Pengerusi Komuniti Nelayan Sungai Kelibang, Zulkifli Che Hasin pula memberitahu, surat bantahan berhubung projek tambak laut bersama tandatangan nelayan-nelayan yang terlibat telah dihantar kepada Pejabat Daerah Langkawi.

Menurutnya, beliau berharap hasrat mereka dan penduduk tempatan diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan.

"Masalah nelayan-nelayan di kawasan ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan memandangkan mereka bergantung hidup sepenuhnya kepada hasil laut bagi menyara kehidupan keluarga," ujarnya.